BEIJING – Ancaman China untuk mengenakan cukai ke atas import minyak Amerika Syarikat (AS) akan menjejaskan perniagaan yang keuntungannya melambung tinggi sejak dua tahun lalu dan kini bernilai hampir AS$1 bilion (RM4 bilion) sebulan.
Dalam perbalahan defisit perdagangan yang meruncing antara AS dan hampir semua rakan dagangan utamanya termasuk China, Presiden Donald Trump berkata pada minggu lalu, beliau mahu meneruskan tarif tinggi berjumlah AS$50 bilion (RM199.9 bilion) ke atas import China, mulai 6 Julai depan.
China menyatakan pada Jumaat lepas pula bahawa ia akan bertindak balas dengan mengenakan cukai import ke atas sebilangan komoditi AS termasuk minyak mentah.
Para pelabur menjangkakan pertikaian itu akan menjejaskan syarikat minyak AS, mengakibatkan harga saham firma ExxonMobil dan Chevron jatuh antara 1 hingga 2 peratus sejak Jumaat lalu, manakala harga minyak mentah AS susut sekitar 5 peratus.
“Peningkatan perang perdagangan ini berbahaya kepada harga minyak.
“Harap pihak terbabit bertindak secara munasabah tetapi saya tidak begitu optimistik,” kata ketua firma dagangan hadapan OANDA, Stephen Innes di Singapura.
Tindakan mengenakan tarif ke atas import AS itu akan menyebabkan harga minyak AS menjadi lebih mahal di China. Namun, Beijing boleh membeli minyak daripada pengeluar lain terutamanya Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia.
Tarif tinggi ke atas pembelian minyak AS itu juga dijangka memberikan manfaat kepada Iran.
“China hanya perlu menggantikan import minyak mentah AS dengan minyak Iran. Ini akan membangkitkan kemarahan Trump,” kata pengarah firma perunding JTD Energy Services, John Driscoll.
Data perkapalan daripada Thomson Reuters Eikon menunjukkan nilai penghantaran minyak mentah AS ke China melonjak baru-baru ini, meningkat daripada hanya AS$100 juta (RM400 juta) sebulan awal 2017 kepada hampir AS$1 bilion pada masa ini. – Reuters
Reuters
GAMBAR fail bertarikh 3 Mei 2017 menunjukkan sebuah telaga minyak dekat Midland, Texas, AS.










