KUALA LUMPUR 24 Jun – Roh pembangkang perlu ada dalam DNA UMNO bagi memastikan parti itu menjadi ejen semak dan imbang yang berkesan.
Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan dengan segera dan komitmen semua pihak di setiap peringkat kepemimpinan.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengerang berkata, kepemimpinan parti di semua peringkat perlu berfikir dan bekerja seperti pembangkang untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.
Namun katanya, semua saf kepemimpinan perlu berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti yang menjadi benteng kepada orang Melayu Islam di negara ini.
“Rakyat telah bersuara, orang muda khususnya melihat perjuangan UMNO pada hari ini sudah tidak relevan meskipun parti telah lebih enam dekad menyumbang bakti kepada bangsa dan negara.
“Justeru roh pembangkang dalam DNA UMNO ini akan mengembalikan semangat UMNO untuk berani menentang seperti era kewujudan Malayan Union. Jangan takut untuk membuat teguran walaupun perkara itu tidak sedap didengar,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, UMNO hanya memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur dan setia kepada perjuangan untuk membina semula parti tersebut.
Justeru, beliau meminta ahli UMNO tidak sesekali lari daripada prinsip perjuangan asal UMNO iaitu bersatu, bersetia dan berkhidmat.
Tambah beliau, pemilihan UMNO yang berlangsung dengan semangat demokrasi itu merupakan langkah positif ke arah fasa baharu dalam UMNO.
Dalam pada itu, Azalina mengucapkan tahniah kepada semua kepemimpinan sayap parti yang telah dipilih oleh akar umbi dalam pemilihan semalam.
“Menang kalah itu adat bertanding, yang menang perlu segera memasang tekad membawa perubahan kepada parti manakala yang kalah diharap tidak menjauhkan diri daripada parti kerana kesetiaan ahli-ahlinya adalah tonggak kepada kekuatan parti,” katanya.











