Dunia menyaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un mengadakan pertemuan bersejarah di Singapura pada 12 Jun 2018 yang lepas. Peristiwa ini signifikan selain dari segi ia merupakan pertemuan pertama antara seorang Presiden AS yang masih dalam perkhidmatan dan pemimpin tertinggi Korea Utara.
Sidang kemuncak ini juga menyaksikan Korea Utara dan AS menandatangani dokumen yang menyatakan komitmen kedua-dua pihak terhadap penyahnuklearan (denuclearization) Semenanjung Korea sepenuhnya.
Pihak Trump meraikan pertemuan ini sebagai kejayaannya menyelesaikan krisis nuklear Korea Utaray ang dicetuskan oleh Kim yang diwarisi dari ayahnya, Kim Jong-il sebagai pada tahun 2012. Malah Trump juga dinamakan sebagai calon Hadiah Keamanan Nobel bagi tahun 2018 atas usahanya menyelesaikan konflik melalui rundingan damai bukannya melalui keganasan.
Sekiranya Trump dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel maka beliau akan menjadi presiden kelima yang menerima kehormatan selepas Theodore Roosevelt, Woodrow Wilson, Jimmy Carter dan Barack Obama. Namun yang menjadi persoalan adalah mengapa Kim menunjukkan perubahan 180 darjah dalam sikapnya?
Apa yang menyebabkan Kim berubah dari seorang yang gemar melakukan provokasi menerusi ujian senjata peluru berpandu dan nuklear kepada seorang yang diplomatik dan koperatif? Pertama, di peringkat antara negara, Korea Utara mengalami isolasi diplomasi ekoran China dan Rusia memulaukan negara yang sudah cukup tertutup itu.
Sejak Perang Saudara Korea (1950-1953), China dan Rusia merupakan dua kuasa besar yang menyokong Korea Utara dan memastikan kepentingan Korea Utara terjaga dalam krisis nuklear Korea Utara pertama (1993-1994) dan yang kedua (2006).
China bertindak sebagai penaung kepada Korea Utara atas kepentingan Korea Utara sebagai sebuah negara penyangga (buffer state) antara China dan negara-negara sekutu AS yakni Korea Selatan dan Jepun.
Namun hubungan diplomatik antara Korea Utara dan China mengalami kemerosotan sejak Kim mengambil alih tampuk pemerintahan. Bukan sahaja Kim gagal untuk mengadakan lawatan ke China seperti yang dibuat ayahnya, malah provokasi berterusan dilakukan oleh Kim terhadap AS, Korea Selatan dan Jepun turut mengundang risiko keselamatan kepada China.
Ini kerana ia memberi justifikasi kepada AS untuk melancarkan langkah ketenteraan untuk melindungi kepentingan sekutunya. Dilema China ini dapat dilihat selepas ujian peluru berpandu Korea Utara pada 6 Mac 2017 yang menyebabkan Korea Selatan mengimport sistem peminta peluru berpandu THAAD daripada AS.
Kelangsungan
China membantah keputusan Korea Selatan tersebut kerana khuatir ia akan melemahkan kekuatan sistem peluru berpandu China. Melihat Korea Utara telah bertindak di luar batasnya, China telah menyokong resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diusulkan oleh AS pada September dan Disember 2017 untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara. Memandangkan 90 peratus daripada import Korea Utara adalah berasal dari China, tindakan China ini memberi tekanan yang amat berat kepada rejim Kim.
Kedua, di peringkat domestik, sekatan China ini menyebabkan semakin sedikit sumber ekonomi yang boleh diagihkan kepada elit tentera. Di bawah dasar Songun (tentera pertama), golongan tentera merupakan penerima utama bantuan ekonomi yang disalurkan oleh negara luar kepada Korea Utara. Sekatan ekonomi akibat tindakan provokatif Kim bakal menimbulkan kemarahan golongan tentera dan risiko kudeta untuk menggulingkan rejim Kim.
Risiko ini ditingkatkan lagi oleh kerapuhan keabsahan Kim sebagai pemimpin yang sah di mata elit tentera kerana ramai masih melihat Kim Jong-nam, abang tiri Kim yang terbunuh di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada Mac 2017 yang lepas sebagai pemimpin yang sah.
Ketiga, di peringkat individu, pendekatan diplomasi Trump sebenarnya telah memainkan peranan besar dalam mengheret Kim ke meja perundingan. Trump memanfaatkan Twitter sebagai saluran komunikasi untuk menyampaikan mesej-mesej berbau ugutan secara terus kepada Korea Utara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan AS.
Antara mesej Twitter Trump yang bertarikh 2 Januari 2018 mengatakan dia memiliki “butang nuklear lebih besar, hebat dan berfungsi” sedikit sebanyak menggugat keyakinan Kim tentang keberkesanan senjata nuklearnya sebagai pencegah (deterrent) serangan AS sekiranya operasi ketenteraan dilancarkan.
Gabungan faktor ini mendorong Kim untuk mengubah strategi dalam memastikan kelangsungan hidup Korea Utara. Dalam ucapan Tahun Baru 2018, Kim telah mengubah pendekatan konfrontasi terhadap Korea Selatan dengan menawar penghantaran kontinjen atlet ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan.
Ekoran daripada itu, Kim dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in telah mengaktifkan semula sidang kemuncak antara Korea pada 27 April 2018. Dalam sidang kemuncak itu, kedua-dua negara telah mengemukakan Deklarasi Panmunjom yang menyatakan komitmen ke arah penamatan Perang Korea, penyahnuklearan selain bertemu Trump. Namun pada masa yang sama, Kim tidak mahu Korea Utara dilihat lemah dan dipaksa menerima segala syarat ditetapkan AS.
Pengalaman Libya mengingati Kim tentang nasibnya sekiranya melepaskan senjata nuklear yang merupakan talian hayat kepada rejim autoritarian. Muammar Gaddafi telah melepaskan kesemua senjata nuklearnya pada tahun 2004 selepas mencapai kata sepakat dengan AS, namun penyahnuklearan menyebabkan Gaddafi tidak mampu mempertahankan Libya daripada serangan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 yang membawa kepada kejatuhan rejim dan kematian Gaddafi.
Jadi, untuk memastikan fleksibiliti Korea Utara dalam bertindak, Kim telah mengambil inisiatif untuk melawat China pada Mac dan Mei 2018 untuk memperbaiki hubungan dua hala. Pada masa sama, Kim menggugut untuk membatalkan pertemuan dengan Trump atas alasan latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan dan menyebabkanTrump membatalkan pertemuan pada 24 Mei.
Sementara berunding dengan pihak Trump, Kim memperluaskan lagi jaringan diplomasinya dengan menerima kunjungan daripada Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada 31 Mei. Selepas Lavrov menjemput Kim untuk melawat Moscow dan berjumpa Vladimir Putin, Trump telah membuat pengumuman pada 1 Jun untuk mengadakan semula sidang kemuncak Trump-Kim menurut jadual asal.
Sekiranya pertemuan ditangguhkan lagi, AS akan hilang inisiatif dalam isu Korea Utara kepada China dan Rusia. Trump terdesak untuk menjadikan pertemuan ini sebagai pencapaian yang boleh dibanggakan demi meraih undi bagi pilihan raya umum pertengahan penggal November nanti.
Secara keseluruhan, pertemuan ini memberi hasil “menang-menang” kepada Trump dan Kim. Trump telah menundukkan para pengkritik dalam negara yang bersikap skeptikal dan sinikal terhadap pendekatan dasar luarnya, serta mencerahkan prospek kemenangan Parti Republikan pada pilihan raya umum nanti.
Kim berjaya memanjangkan kelangsungan hidup rejimnya di ambang kejatuhan akibat sekatan ekonomi China dan mengeluarkan negaranya daripada keadaan dipulaukan oleh kuasa-kuasa besar. Walaupun komitmen Korea Utara terhadap penyahnuklearan masih samar-samar, pertemuan kali ini membuka ruang untuk Korea Utara menjalin hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain.
Kini Korea Utara tidak lagi dilihat sebagai negara samseng (rogue state) tetapi negara yang rasional dan boleh dibawa runding.
– Penulis merupakan penulis buku Dunia Tanpa Tembok terbitan Patriots Publication.










