Rakyat Turki mengundi - Utusan Malaysia

Rakyat Turki mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL – Rakyat Turki mula mengundi semalam bagi memilih Presiden baharu dan anggota Parlimen sekali gus menjadi cabaran terbesar terhadap Tayyip Erdogan serta parti akar umbi Islam, AK sejak berkuasa lebih 15 tahun dahulu.

Pilihan raya itu juga bakal menyaksikan masa depan jawatan Pre­siden Eksekutif yang telah diisi oleh Erdogan dan disokong oleh majoriti kecil rakyat Turki semasa pungutan suara 2017.

Pengkritik mengatakan, amalan tersebut akan menghapuskan demokrasi di negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu selain mengukuhkan pemusatan kuasa kepada seorang pemimpin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kestabilan ini mesti diteruskan dan boleh berlaku dengan Erdogan, jadi saya mengundi dia. Saya juga berfikir bahawa dengan Erdogan, kita berdiri lebih kuat menentang Barat,” kata seorang penjaga bangunan, Mehmet Yildirim, 48, di Istanbul.

Lebih 56 juta orang berdaftar untuk mengundi di 180,000 pos undi di seluruh Turki. Pengundian bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan dan akan berakhir pada pukul 5 petang.

Erdogan, pemimpin yang paling popular tetapi juga seorang yang se­ring menyebabkan perpecahan rakyat dalam sejarah Turki moden. Beliau telah bertindak mengadakan pilihan raya lebih awal berbanding jangkaan pada November 2019.

Alasan Erdogan ialah dengan mandat baharu melalui pilihan raya akan membolehkan beliau menangani masalah ekonomi negara de­ngan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau ber­hadapan dengan calon Pre­siden Parti Rakyat Republik (CHP) sekular, Muharrem Ince yang menunjukkan prestasi mantap semasa mengadakan perhimpunan kempen sekali gus merangsang kebangkitan dalam kalangan pembangkang Turki.

Mengulas perhimpunan di Istanbul kelmarin yang dihadiri oleh beratus-ratus ribu orang rakyat, Ince berjanji untuk mengundurkan kuasa peme­rintahan autokrasi Erdogan di negara yang mempunyai penduduk seramai 81 juta orang itu.

“Jika Erdogan menang, telefon anda akan terus didengar dan ketakutan akan terus berleluasa. Sebaliknya jika Ince menang, mahkamah-mahkamah akan bebas,” kata Ince sambil menambah beliau akan menamatkan perintah darurat di Turki dalam tempoh 48 jam selepas dipilih.

Turki berada di bawah undang-undang darurat selama hampir dua tahun selepas tentera gagal merampas kuasa pada Julai 2016. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini