CYBERJAYA – Pakatan Harapan berharap rakyat dapat memberi masa kepada pihaknya untuk menunaikan manifesto pilihan raya yang dijanjikan sehingga kerajaan menyelesaikan masalah kewangan negara.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, buat masa ini keutamaan perlu diberikan untuk menyelesaikan hutang negara yang perlu distabilkan terlebih dahulu.
“Kita memang hendak tunai janji manifesto itu tetapi perlu menunggu keadaan mengizinkan. Kita kini terbelenggu dengan isu hutang negara RM1 trilion serta masalah-masalah kewangan, kita perlu menstabilkan keadaan ini dahulu.
“Jadi, bagilah kita masa, kita hendak selesaikan masalah kewangan negara terlebih dahulu. Kita sudah mensifarkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan tetapi tetap memberi Bantuan Sara Hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Pemecut Global anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini semalam.










