BAGAN SERAI 10 Jun – Menjelang Hari Raya Aidilfitri, orang ramai semakin rancak membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal.
Selain membeli pakaian baharu, tidak ketinggalan adalah membeli biskut raya untuk menjamu tetamu pada Hari Raya nanti.
Bagi penduduk di sini, Pasar Awam Bagan Serai menjadi lokasi utama para peniaga berniaga kuih raya sama ada kuih tradisional dan moden.
Seorang pembuat dan peniaga kuih raya, Zura Ismail, 46, berkata, selain kuih moden, dia terkenal kerana membuat kuih tradisional Melayu iaitu kuih putu kacang dan rempeyek sejak 10 tahun lalu.
Melihat kepada sambutan yang diterima, dia mengambil kesempatan untuk menjual kuih raya.
Katanya, kuih tradisional Melayu seperti putu kacang dan rempeyek antara yang tetap menjadi pilihan ramai menjelang Aidilfitri.
“Saya menghasilkan putu kacang dan rempeyek dan sambutannya amat menggalakkan malah jualan semakin bagus sejak cuti sekolah bermula.
“Biasanya jualan akan meningkat apabila semakin hampir Hari Raya,” katanya.
Selain kuih-kuih tradisional Melayu, Zura juga menjual lebih 60 jenis kuih yang dibeli dari Klang, Selangor dan kawasan-kawasan lain di utara Semenanjung.
Menurut Zura, harga sebungkus rempeyek dijual pada harga RM13, kuih loyang RM15 sebalang, kuih bangkit RM13 sebalang, muruku RM10 sebungkus manakala kuih-kuih moden RM23 sebalang.
“Harga yang ditawarkan amat berpatutan, sesuai dengan kos dan kualiti selain rasanya yang sedap. Menjelang Aidilfitri, kami beroperasi bermula pukul 9 pagi sehingga ke malam.
“Sekarang sudah tiada GST, sudah tentu ini melegakan kami dan pembeli,” katanya.










