SAUDARA PENGARANG
‘UMNO perlu terus bangkit’. Itulah ungkapan yang selalu kita dengar sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikejutkan apabila kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ungkapan itu pada pemerhatian saya adalah suara orang Melayu walaupun ada orang ‘Melayu’ yang menyatakan UMNO itu ‘jijik’.
Walaupun UMNO kini sudah berada di dua persimpangan sama ada terus ‘bernafas’ atau ‘dikafankan’, tetapi masih ramai yang menaruh keyakinan dan meletakkan harapan kepada UMNO.
Buktinya apabila ramai yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan kepimpinan UMNO pada hujung bulan ini. Dalam semua peringkat jawatan yang dipertandingkan, sudah tentu jawatan Presiden menjadi perhatian.
Setakat tulisan ini dicatatkan, ada beberapa calon telah menawarkan diri merebut jawatan tersebut. Ada orang muda, orang dewasa dan ada orang tua. Keadaan ini barang kali menimbulkan sedikit kekeliruan kepada 150,000 perwakilan untuk memilih siapakah yang paling layak.
Di sini saya berikan beberapa panduan kepada perwakilan untuk membuat pilihan. Merujuk kepada Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 58 (pangkal ayat), “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanat (amanah) kepada ahlinya”.
Walaupun ayat di atas memfokuskan tentang pekerjaan, tapi menurut bahasa kepimpinan juga adalah pekerjaan. Ertinya jika kita memilih pemimpin, pilihlah di kalangan ahlinya, iaitu orang atau individu yang benar-benar mahir, tahu dan berpengalaman luas dalam kepimpinan dan politik negara.
Membentuk kemahiran dan pengalaman bukan sesuatu yang mudah, ianya memerlukan proses yang panjang. Contohnya, jika seorang doktor ingin menjadi doktor pakar, tentu mengambil masa yang lama.
Contoh di atas bolehlah dikaitkan dengan UMNO. Parti sekarang ini memerlukan ’doktor pakar’ yang berpengalaman bagi mengubati ‘penyakit kroniknya’.
Dalam Tafsir Al-Azhar, Hamka ada menceritakan kisah kaum Bani Israel diperhambakan oleh bangsa Babil dan Baitulmuqaddis dihancurkan. Nabi Musa telah menyelamatkan kaum Bani Israel dengan ‘mengkuarantin’ kaum tersebut di Padang Tin selama 40 tahun.
Selepas kewafatan Nabi Musa, tiada sesiapa lagi dalam Bani Israel yang boleh diangkat menjadi pemimpin. Nabi-Nabi yang ada ketika itu ramai yang telah mereka bunuh. Kesannya, Bani Israel telah hilang semangat perjuangan dan semangat untuk terus hidup semakin luntur.
Cuma ada seorang Nabi yang masih hidup ketika itu iaitu Nabi Samuel. Nabi Samuel ini sudah tua tapi sangat bijak. Pemikiranya masih diperlukan oleh kaum Bani Israel.
Atas kesedaran dan semangat ingin terus bangkit, mereka bersedia mengangkat Nabi Samuel yang tua itu sebagai pemimpin. Akhirnya kaum Bani Israel boleh bangkit semula dan dapat membantuk sebuah negara dan pasukan tentera yang kuat sehingga ke hari ini.
CICIT WAN NGAH
Chenor, Pahang










