KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama tidak membintangi drama bersiri, pelakon, Anding Indrawani memaklumkan dirinya kini selesa membina kerjaya seni di bumi kelahirannya sendiri, Sarawak.
Menurut Anding, dia sudah kembali menetap di bumi Kenyalang itu selama tujuh tahun bersama keluarga tersayang, selain fokus menguruskan perniagaannya sendiri.
“Saya sudah tujuh tahun menetap di Sarawak dan fokus dengan kehidupan di sana. Sepanjang tujuh tahun di sana, saya ditawarkan menjadi pengacara di RTM Sarawak.
“Dalam masa yang sama saya membangunkan perniagaan bersama ahli lembaga pengarah. Syarikat kami merupakan syarikat spin-off kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Kami banyak menganjurkan acara dan menghasilkan produksi.
“Buat masa sekarang saya tidak fikir untuk kembali menetap di Kuala Lumpur. Saya sudah selesa tinggal di Sarawak bersama keluarga. Sekarang ini saya sudah terbiasa dengan rutin ulang-alik dari Sarawak ke Kuala Lumpur.
“Naik kapal terbang macam naik bas. Selesai sahaja penggambaran, saya akan terus pulang ke Sarawak,” katanya ketika ditemui di sidang media Gerak Khas 2.0, di TGV KLCC, pada Selasa.
Tambah Anding, antara faktor utama yang membuatkan dirinya enggan meninggalkan Sarawak kerana mahu menjaga ibunya yang sudah semakin menua.
“Saya tidak boleh berjauhan dengan ibu saya. Sejak ayah meninggal dunia, saya mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Saya perlu memantau keselamatan dan kesihatan ibu.
“Ibulah menjadi tulang belakang saya, bukan sahaja dalam kerjaya tetapi juga dalam kehidupan sebagai anak seni. Sekarang ibu saya berusia 67 tahun.
“Meskipun ada adik-beradik lain yang boleh menguruskan ibu apabila saya terpaksa ke Kuala Lumpur, tetapi saya rasa saya perlu ada bersama dia,” kongsinya.
Mengulas mengenai pembabitannya dalam drama bersiri ikonik Gerak Khas 2.0, Anding mengakui dirinya terbuka untuk terlibat dalam naskhah tersebut selepas dipujuk pengarahnya, Datuk Yusof Haslam dan C. Kumaresan.
“Apabila saya bertemu dengan Datuk Yusof Haslam dan juga Kumar tahun lepas, mereka beritahu mereka memerlukan seorang peneraju utama daripada Sarawak. Mereka mahukan seorang pelakon anak Sarawak untuk memegang watak utama.
“Sebenarnya ada juga pelakon lain yang saya rasa berpotensi, tetapi Datuk nampak saya. Sebelum ini beliau pernah melihat lakonan saya, terutama ketika membawakan watak beruniform.
“Jadi saya terus bersetuju, walaupun sebenarnya sudah lama saya tidak berlakon drama bersiri. Walaupun penat berulang-alik, saya anggap ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab sebagai pelakon.
“Saya mahu terus berada dalam industri, bukan semata-mata mahu kekal relevan. Itu kedengaran klise. Tetapi saya masih mahu berjuang dan menyumbangkan bakat kerana saya rasa masih banyak yang boleh saya berikan,” ujarnya.
Selain Anding, drama yang disiarkan di TVS itu turut dibintangi Datuk Hans Isaac, Erra Fazira, Salina Saibi, Fezrul Khan dan ramai lagi.








