WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance berkata, aliran minyak melalui Selat Hormuz kembali ke tahap sebelum perang, walaupun jumlah keseluruhan trafik kapal masih lebih rendah.
Katanya, ia berikutan memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Iran yang mendorong Teheran membuka semula laluan air tersebut.
Bercakap dalam rancangan The Michael Knowles Show, Vance berkata, selat itu kini terbuka dan aliran keluar minyak kini semakin meningkat.
“Ada beberapa hari di mana kita melihat lebih banyak minyak melalui selat itu berbanding sebelum perang bermula,” katanya.
Beliau menambah, ekonomi minyak global sedang ‘kembali bergerak’, walaupun proses pemulihan itu masih mengambil masa. Menurutnya, penurunan harga minyak juga sudah dapat dilihat.
Vance turut mengkritik penyokong Republikan yang mahu meneruskan konflik dengan Iran, menegaskan kelompok itu gagal memahami kesan terhadap pasaran tenaga global.
“Sikap mereka hanya ‘bom dan bom dan bom’, tetapi mereka tidak dapat menjelaskan untuk tujuan apa,” katanya, sambil menegaskan pentadbiran AS hanya akan menggunakan kekuatan ketenteraan jika ia memenuhi objektif tertentu.
Beliau berkata, pendekatan semasa Washington membantu mengurangkan tekanan terhadap ekonomi global sambil mengekalkan pengaruh dan fleksibiliti strategik, walaupun masih terdapat ketidaktentuan mengenai hala tuju Iran.
Namun begitu, Vance mengakui jumlah keseluruhan trafik kapal masih jauh lebih rendah berbanding purata sebelum perang, iaitu sekitar 130 hingga 150 laluan kapal setiap hari. Sekitar 240 kapal dilaporkan melalui selat itu pada minggu lalu menurut data Lloyd’s List.
Menurutnya, peningkatan semula yang berlaku kini lebih tertumpu kepada kapal tangki minyak, manakala kapal kargo dan kapal komersial lain masih belum kembali ke tahap normal sepenuhnya.
Sebelum konflik, sekitar 20 juta tong minyak mentah dan produk petroleum — kira-kira 25 peritus daripada perdagangan minyak laut dunia melalui Selat Hormuz setiap hari, menurut Encyclopedia Britannica.
Fenomena ini menunjukkan perbezaan pemulihan antara sektor tenaga dan perdagangan maritim lain, apabila kapal minyak kembali beroperasi lebih pantas berbanding kapal kontena dan kapal kargo pukal, yang masih berhati-hati berikutan risiko keselamatan di kawasan tersebut.
Pakar berkata, kebimbangan terhadap keselamatan di laluan strategik itu masih menyebabkan syarikat perkapalan mengurangkan penggunaan selat untuk kapal bukan tenaga.
Salah satu faktor tambahan yang menyokong peningkatan aliran minyak ialah kelonggaran sekatan terhadap Iran, yang kini dibenarkan menjual tenaga di pasaran global selepas AS melonggarkan sekatan minyak dan membuka semula pelabuhan Iran di bawah perjanjian MoU tersebut.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan minyak paling penting di dunia, menjadi laluan utama eksport bagi negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Vance berkata, keadaan semasa menunjukkan pasaran tenaga global sedang stabil semula, dengan harga minyak yang sudah mula menurun walaupun masih terdapat ketidakpastian geopolitik.
Beliau turut menambah perjanjian damai Lubnan–Israel serta MoU antara AS dan Iran mengandungi prinsip bahawa integriti wilayah Lubnan akan dihormati, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan ketegangan di rantau tersebut.-AGENSI








