KUALA LUMPUR: Pelan induk dan pelan tindakan pelaburan yang telah lama dinantikan bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah siap sepenuhnya dan diluluskan oleh Jemaah Menteri, namun pelancarannya hanya akan dibuat selepas Pilihan Raya Negeri Johor.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, pelancaran rasmi dokumen tersebut dirancang untuk dilakukan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bagi memberi impak lebih besar terhadap inisiatif rentas sempadan itu.
Katanya, walaupun pelancaran rasmi masih tertangguh, pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam dokumen tersebut telah pun bermula.
“Pelan induk dan blueprint ini sudah siap. Perancangan adalah untuk kedua-dua perdana menteri melancarkannya bersama. Jadi jangka masa yang kita sasarkan adalah selepas pilihan raya negeri,” katanya sempena Forum Eksekutif JS-SEZ di sini hari ini.
JS-SEZ yang dimeterai pada Januari 2025 merupakan inisiatif dua hala Malaysia–Singapura untuk membangunkan hab ekonomi rentas sempadan yang lebih berdaya saing di peringkat global.
Ia memberi tumpuan kepada tarikan pelaburan bernilai tinggi, peningkatan pergerakan barangan dan tenaga kerja, serta pengukuhan kerjasama dalam sektor pembuatan, logistik, digital, tenaga dan pembangunan bakat.
Antara kawasan yang terlibat dalam zon ekonomi ini termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Sedenak dan Desaru.
Sebelum ini, pelancaran pelan induk dan pelan tindakan tersebut dijadualkan pada akhir 2025, sebelum ditangguhkan ke 30 Mac 2026, namun tarikh itu turut tidak dipenuhi.
Dalam pada itu, Akmal berkata, kelewatan pelancaran tidak menjejaskan pelaksanaan projek, kerana jawatankuasa berkaitan telah pun melaksanakan inisiatif yang dipersetujui dalam dokumen berkenaan.
“Apa yang kita persetujui dalam dokumen itu sebenarnya sudah mula dilaksanakan,” katanya, sambil menekankan fokus kerajaan tahun ini adalah kepada pelaksanaan dan penyampaian hasil,” katanya.
Akmal berkata, sebanyak 57 peratus daripada RM76.98 bilion pelaburan yang diluluskan di bawah JS-SEZ tahun lalu telah pun direalisasikan di lapangan.
Dalam pada itu, Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) akan terus memberi tumpuan bukan sahaja untuk menarik pelaburan baharu, tetapi juga memastikan pelaburan yang telah diluluskan dapat direalisasikan secara efektif. – UTUSAN








