JOHOR BAHRU 29 Jun – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong menyambut baik usul Badan Perhubungan MCA negeri yang mahu beliau bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti November depan.
Beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat tentang perkara berkenaan.
“Saya akan mempertimbangkan usul itu dan merupakan penghargaan kepada saya. Apapun kita tunggulah sehingga hari pemilihan nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Badan Perhubungan MCA negeri, di sini sebentar tadi.
Ka Siong yang jugak Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, pemilihan jawatankuasa tertinggi parti kali ini lebih terbuka apabila melibatkan undian kira-kira 30,000 ahli di seluruh negara dan bukan hanya membabitkan 2,345 perwakilan di MCA pusat.
“Ini adalah pertama kali kita melakukan pemilihan seperti ini dengan setiap bahagian akan terlibat. Saya yakin dengan pembaharuan ini akan memberi lebih banyak input bermakna kepada pihak pucuk pimpinan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









