KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memberi kelonggaran kedudukan kredit (credit ratings) terhadap golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan melihat semula masalah peratusan penolakan pinjaman perumahan yang tinggi dan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan kadar penolakan melibatkan pinjaman rumah pertama serta rumah mampu milik dapat diselesaikan.
“KPKT sedar bahawa terdapat keperluan yang sangat tinggi untuk menyediakan lebih banyak kediaman kepada golongan B40 dan M40 khususnya yang menetap di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta nilai hartanah yang semakin meningkat.
“Bagi golongan belia, kebanyakan dari mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman perumahan disebabkan polisi pinjaman perumahan yang terlalu ketat dan perkara ini akan turut sama dibincangkan dalam mesyuarat tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan penganjur Pameran Hartanah Bumiputera, Mohd. Azmi Mohd. Arif yang menyatakan 80 peratus golongan belia berusia antara 25 dan 40 tahun gagal memiliki rumah sendiri berikutan polisi pinjaman perumahan yang ketat.
Senario itu menjadikan mereka yang bekerja di bandar-bandar utama terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki rumah dan terus menyewa.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pendapatan pembeli kedua dan ketiga isi rumah tidak kira tetap atau sampingan akan turut diambil kira melalui bukti dokumen selain memberi kelonggaran kepada peminjam.
“Dalam perkara ini, KPKT akan mengambil kira pendapatan kedua dan ketiga isi rumah supaya disekalikan dalam permohonan pinjaman perumahan tersebut.
“Selain itu, konsep mampu milik dan selesa juga akan digunapakai bagi memastikan setiap perumahan mampu milik yang dibina adalah selesa, selamat dan mampu dimiliki oleh golongan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain berkaitan syarat Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS), beliau berkata, syarat tersebut masih belum dibincangkan buat masa ini.
“Kita masih belum membincangkan syarat CTOS dan CCRIS yang dikenakan terhadap golongan muda yang ingin membeli rumah,” katanya.










