STEVE HAMMOND berjuang selama beberapa tahun dalam bidang ketenteraan sebelum bersara dan kembali kepada kehidupan normal.
Dia yang mengalami kecederaan fizikal sukar mendapatkan pekerjaan sehingga mengalami tekanan hidup dan pernah membayangkan untuk membunuh diri.
Namun, lelaki berusia 61 tahun itu kini sudah selangkah ke hadapan sebagai ketua pasukan di syarikat Britain’s Bravest Manufacturing Company (BBMC).
BBMC merupakan salah satu daripada syarikat berorientasikan sosial yang menyediakan peluang pekerjaan kepada orang kelainan upaya (OKU).
Perusahaan sosial ialah entiti yang mempraktikkan model perniagaan dalam usaha mencapai matlamat sosial iaitu membantu ibu tunggal, OKU dan sebagainya untuk menceburi bidang keusahawanan.
Veteran tentera
Lebih 70 peratus kakitangan di syarikat itu terdiri daripada veteran tentera yang mengalami kecacatan fizikal atau mental yang bekerja membuat tanda jalan dan kereta api.
“Ia memberikan peluang kepada mereka yang mempunyai masalah kecacatan atau kesihatan mental untuk meneruskan kehidupan.
“Sekiranya mereka boleh bekerja dengan senyuman, itu sesuatu pencapaian yang amat membanggakan,” kata Hammond yang mengalami kecederaan fizikal ketika Perang Falklands.
BBMC adalah salah satu daripada 71 perusahaan sosial dengan misi untuk memberi manfaat kepada masyarakat serta menjadikan perkhidmatan itu mencatat keuntungan.
Pembinaan adalah salah satu sektor yang dilihat beberapa syarikat besar British mampu memberi manfaat komersial untuk mengupah pekerja perusahaan sosial berbanding pesaing mereka yang didorong oleh keuntungan sendiri.
Social Enterprise UK (SEUK) menandatangani satu inisiatif pada tahun 2016 bersama syarikat farmaseutikal Johnson & Johnson, firma perunding PwC dan syarikat utama lain untuk mempromosikan sektor yang sedang berkembang.
Pengurus Pelaburan Wates, Su Pickerill berkata, projek pembinaan yang memberikan impak sosial positif menjadi faktor penting untuk memenangi satu-satu kontrak.
“Kami perlu menunjukkan sesuatu yang luar biasa bukan sekadar bangunan atau perkhidmatan.
“Menerusi perniagaan perusahaan sosial, kami boleh membuktikan kelainan yang diberikan berbanding syarikat lain,” katanya.
Britain dilihat sebagai peneraju global dalam sektor perusahaan sosial yang inovatif dengan kira-kira 70,000 perniagaan dan tenaga kerja hampir sejuta orang pada tahun lalu.
Dua tahun lalu, SEUK melancarkan cabaran sosial untuk menggalakkan syarikat-syarikat British mendapatkan perkhidmatan daripada perusahaan sosial dengan anggaran keuntungan AS$1.40 bilion (RM5.56 bilion) menjelang tahun 2020.
Salah satu matlamat daripada inisiatif itu adalah untuk membuka peluang kepada sebarang sektor perniagaan bagi mendapatkan perkhidmatan daripada perusahaan sosial dan ia melampaui konsep tradisional tanggungjawab sosial korporat.
Timbalan Ketua Eksekutif SEUK, Charlie Wrigglesworth berkata, syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam inisiatif itu pada mulanya sangat kecil tetapi terdapat potensi untuk terus meningkat.
“Pertumbuhan B2B (business-to-business) adalah satu fenomena yang sangat baharu untuk perusahaan sosial.
“Apa yang kita mahu lakukan adalah memastikan bahawa mereka yang menubuhkan perusahaan sosial B2B dapat mencari peluang pasaran tertinggi,” katanya.
Johnson & Johnson mendapatkan perkhidmatan sebuah syarikat sosial See Detail yang menggaji kakitangan autistik untuk menguji perisian.
Sindrom
Badan Kebajikan Autistik Kebangsaan melaporkan, terdapat 700,000 autistik dewasa di Britain dan hanya 16 peratus daripadanya bekerja.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi See Detail, Chris Mitchell menggemari ruang lingkup tugasan pekerjaannya yang dilihat membantu mengurangkan sindrom kebimbangan yang keterlaluan.
Sebelum dia didiagnosis dengan sindrom Asperger iaitu salah satu bentuk autisme pada tahun 1998, Mitchell mengalami kemurungan dan lebih suka menyendiri.
Dia bergelut untuk mendapatkan pekerjaan dan mengalami kekecewaan akibat penolakan secara berterusan.
Pengarah Urusan UK Johnson & Johnson, farmaseutikal Janssen, Mark Hicken pula berkata, bekerja dengan syarikat sosial membantu menarik pelabur etika. – Reuters











