KUALA LUMPUR 25 Jun – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menerima tempahan sebanyak 1,000 buah Bezza dan Axia, pembelian pertama bagi perkhidmatan ride-hailing dan perkongsian kenderaan.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, jualan kepada syarikat perkhidmatan ride-hailing dan perkongsian kenderaan membuka pasaran baharu buat syarikat kereta kompak itu.
Katanya, ia merupakan tanda kepercayaan syarikat-syarikat tersebut kepada kenderaan Perodua yang berkualiti, selamat serta mempunyai kos operasi yang rendah.
“Perkembangan perkhidmatan ride-hailing dan perkongsian kenderaan di Malaysia telah merevolusikan pengangkutan bagi rakyat Malaysia.
“Perodua amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha ini ke arah pengangkutan yang lebih cekap dan mampan untuk semua. Kami berterima kasih di atas sokongan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Secara keseluruhan, lebih 300,000 buah Axia dan 100,000 buah Bezza telah dijual sejak pelancaran masing-masing pada 2014 dan 2016.
Kedua-duanya merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang telah diperakui oleh kerajaan dan menguasai segmen kenderaan masing-masing sejak pelancarannya.
Perodua baru-baru ini, melancarkan varian baharu Bezza GXtra di Autoshow Malaysia 2018, yang diadakan pada 26-29 April di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).
Menggantikan varian 1.0 Standard G, Bezza GXtra menawarkan spesifikasi trim setanding dengan 1.3 Premium X tanpa sebarang kenaikan harga dengan itu memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan.










