KEMENTERIAN Pendidikan berhasrat untuk memperkasakan lagi pusat tahfiz dan madrasah agar pelajarnya tidak hanya dibekalkan dengan ilmu agama semata-mata.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, antara perancangan kementerian termasuklah membekalkan ilmu keusahawanan kepada pelajar tahfiz agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan.
Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai projek baharu melibatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional(TVET) untuk pelajar tahfiz di kolej komuniti di seluruh negara.
“Kita tidak nafikan pelajar tahfiz ini apabila mereka habis belajar akan menjadi imam dan sebagainya namun, mereka juga perlu diberikan nilai tambah untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.
“Sekarang adalah peluang terbaik untuk kita seimbangkan pelajar tahfiz ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar Kementerian Pendidikan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut Maszlee, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Kabinet hari ini juga menekankan agar kementerian ini memberi tumpuan kepada pendidikan keusahawanan dan perniagaan dalam talian.
“Dr. Mahathir meminta saya supaya memberi tumpuan terhadap pendidikan keusahawanan dan perniagaan dalam talian. Saya mengambil perkara ini sebagai cabaran selaku menteri yang bertanggungjawab untuk memperkasakan pendidikan negara.
“Pendidikan keusahawanan dan perniagaan dalam talian ini perlu diterapkan dalam kolej komuniti dan kolej vokasional, saya percaya usaha ini dapat mendedahkan lagi ilmu dalam bidang berkenaan kepada pelajar,” katanya.
Bersempena dengan majlis tersebut, Maszlee turut menyampaikan sumbangan kepada 80 orang penerima yang terdiri daripada anak-anak dan warga kementerian yang wajar dibantu.
“Semoga menerusi sumbangan yang diberikan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba selain dapat mengeratkan lagi hubungan sesama insan,” katanya.










