SHAH ALAM 24 Jun – Calon Ketua Pergerakan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerima undian tertinggi daripada para perwakilan pergerakan itu di bahagian Shah Alam.
Dr. Asyraf yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memperoleh 199 undi sekaligus meninggalkan pencabarnya selepas undian di peringkat pergerakan bahagian itu berlangsung di Bangunan UMNO Selangor di sini.
Sementara itu, Abdul Razak Mohamed Yusof yang turut bertanding jawatan tersebut hanya mampu memperoleh lima undi sahaja termasuklah Khairul Azwan Harun yang mendapat jumlah undian yang sama.
Pada masa sama, Ketua Pergerakan UMNO Pahang, Mohd. Shahar Abdullah memperoleh tujuh undi manakala Syed Rosli Syed Harman dan Wan Md. Hazlin Agyl Wan Hassan masing-masing mendapat satu undi.
Namun, tiga lagi calon iaitu Mohd. Noor Izzat Mohd. Johari, Datuk Seri Jamal Md. Yunos serta Imbran Afham Armen tidak mendapat sebarabg undi daripada 201 perwakilan pergerakan pemuda bahagian itu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd. Fariz Abd. Hadi mendapat 166 undi daripada perwakilan bahagian berkenaan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia manakala Shahril Sufian Hamdan hanya memperoleh 52 undi diikuti Bastien Onn (3 undi) dan Mohamad Razali Tusyan serta Syafique Dassila Mohd. Adam Das yang mana masing-masing memperoleh satu undi. – UTUSAN ONLINE
Keputusan Pemilihan Jawatan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Peringkat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam)
Pengerusi Tetap – Fadzal Firdaus Mustafa Kama
Timbalan Pengerusi Tetap – Mohd. Fazli Zikiri
Ketua – Datuk Dr. Aysraf Wajdi Dusuki
Naib Ketua – Mohd. Fariz Abd. Hadi.










