ISKANDAR PUTERI 10 Jun – Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengenakan syarat tambahan bagi pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bagi mengelakkannya disewakan kepada orang luar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, syarat baharu itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco dalam masa terdekat.
“Kemungkinan kita akan menambah syarat baharu ini kerana kita ada menerima maklumat bahawa RMMJ ini bila diserahkan kunci kepada penerima, ia terus disewakan.
“Sebab itulah syarat (wajib) RMMJ mestilah rumah pertama kerana kalau mereka benar-benar tiada rumah, mereka akan duduk di situ dan tidak akan menyewakan kepada orang lain,” katanya selepas menyampaikan zakat oleh UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise) kepada 10 asnaf di Masjid Kampung Pok, Gelang Patah, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Projek Wilayah Selatan UEM Sunrise, Zamri Yusof dan Penolong Amin Baitulmal Daerah Johor Bahru, Luqmanul Hakim Ab. Rahman.
Dzulkefly berkata, pihaknya tidak menolak ada pemilik yang terpaksa menyewakan RMMJ atas sebab-sebab yang tidak dielakkan, namun ada juga yang dikesan sengaja menyewakan rumah berkenaan untuk mengaut keuntungan.
“Sebab itulah kerajaan negeri mengambil keputusan memansuhkan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) dalam soal pengagihan RMMJ baru-baru ini.
“Ini kerana kebanyakan mereka yang dapat ini sudah mempunyai rumah lain dan menggunakan proksi untuk mendapatkan RMMJ yang akhirnya dijadikan rumah sewa,” katanya sambil memberitahu RMMJ tidak boleh dipindah milik dalam tempoh 10 tahun.










