Pemaju digesa bina rumah kos rendah - Utusan Malaysia

Pemaju digesa bina rumah kos rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 25 Jun – Kerajaan negeri menggesa syarikat pemaju membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk manfaat golongan kurang berkemampuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya mahu memperkenalkan semula konsep sewa beli bagi kediaman kategori ber­kenaan.

Melalui konsep itu katanya, kerajaan negeri bersedia untuk membeli rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang berharga sekitar RM42,000 hingga RM72,000 yang dibina pemaju.

“Saya berharap mendapat kerjasama daripada pemaju kerana kita mahu golongan kurang berkemampuan mampu memiliki rumah sendiri. Perkara ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Lebuh Ah Quee di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan kelulusan terlalu banyak yang diberikan kerajaan negeri untuk pembinaan rumah mewah mencecah harga jutaan ringgit sehingga dilihat meminggirkan penduduk tempatan.

Berhubung flat MBPP di Lebuh Ah Que, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu, perumahan berkenaan telah digunakan sejak 1960 dengan kadar sewa RM112 hingga RM117 sebulan.

Menurutnya, sejak 2008, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM300,000 untuk projek penyelenggaraan.

“Dalam masa terdekat, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk membaiki bumbung flat di sini selain saya mahu sistem perparitan dan longkang juga dibaiki kerana sebelum ini pelbagai aduan telah dibuat penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN