KUALA LUMPUR – Malaysia bersama negara-negara ASEAN mengisytiharkan perang terhadap sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia 2018 yang dijangka menawarkan pertaruhan jutaan ringgit menjelang sepak mula kejohanan tersebut di Rusia Khamis ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, bagi mengekang kegiatan sindiket judi bola Piala Dunia 2018 kali ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengatur strategi bersama pihak berkuasa semua negara ASEAN dan Polis Antarabangsa (Interpol) menerusi Ops Soccer Gambling (Soga) VII.
Katanya, selain itu, PDRM juga sudah mewujudkan hubungan kerja dengan Asean Football Confederation dan menggerakkan pasukan khas termasuk Unit Siber dan Multimedia dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau semua web pertaruhan judi.
Katanya, kolaborasi bersama negara ASEAN diambil berikutan trend perubahan judi bola sepak yang menyaksikan sindiket menggunakan medium online berbanding kaedah konvensional sebelum ini.










