ROSTOV – Penyerang Brazil, Neymar mengakui kecewa selepas skuad A Selecao tersebut hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Switzerland pada aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2018 di Arena Rostov awal pagi semalam.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu juga mendakwa, pemain tengah Switzerland, Steven Zuber menolak Miranda sebelum dia menanduk masuk gol penyamaan pada separuh masa kedua.
Neymar berpendapat, Zuber melakukan kekasaran ke atas Miranda, namun menyerahkan keputusan tersebut kepada pihak yang lebih pakar selain percaya mereka berhak mencatat kemenangan.
“Pada pendapat saya, ia merupakan satu kekasaran. Saya menonton ulang tayang gol tersebut tetapi bukan tugas saya untuk membuat ulasan kerana ada empat orang profesional yang menjalankan tanggungjawab itu.
“Perlawanan ini tidak sepatutnya berakhir dengan keputusan seri tetapi saya akui kami mampu bermain lebih baik. Semua orang tahu ia bukanlah satu perlawanan yang mudah,” kata Neymar.
Selain itu, dia juga mengakui kecederaan buku lali yang dialami sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya memandangkan masih terasa sakit ketika beraksi pada perlawanan semalam.
“Saya akui masih rasa sakit tetapi tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Ketika badan sejuk, ia bertambah sakit, namun itu adalah perkara biasa. Apa yang paling penting adalah untuk fokus kepada perlawanan seterusnya,” ujarnya. – Agensi










