Mahir bahasa Mandarin dalam tempoh 60 jam - Utusan Malaysia

Mahir bahasa Mandarin dalam tempoh 60 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berada di rumah, anak sulung dan anak kedua Musliha Yaacob, 39, yang merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Min Beserah, Pahang lebih selesa bertutur bahasa Mandarin terutama jika ada perkara yang ingin dirahsiakan daripada ibu mereka.

Musliha telah menghantar Dalila Damia Mohd. Hafiz, 11, dan Dalila Darwisya Mohd. Hafiz, 9, ke aliran pendidikan Cina pada peringkat prasekolah sejak mereka berusia tiga tahun.

Kepada Musliha, SJKC mempunyai sistem dan budaya pembelajaran unik yang disifatkannya bagus untuk perkembangan anak-anaknya.

Didorong perkara berkenaan, Musliha menanam tekad untuk belajar bahasa Mandarin. Selain ingin memantau perbualan anak-anak, dia baru sahaja berjinak-jinak mengikuti rombongan borong di China. Ternyata, bahasa itu sangat penting untuk memudahkan urusan komunikasi ketika berurus-niaga.

Semangat ingin mempelajari bahasa tersebut kian membara apabila Musliha sekeluarga melancong ke Guangzhou, Shenzen dan Hong Kong, China tahun lalu.

Interaksi

Katanya, dua anaknya itu begitu menikmati percutian tersebut dan gembira dapat menggunakan bahasa rasmi negara republik tersebut dan mampu berinteraksi dengan penduduk tempatan dengan yakin.

“Sepanjang 10 hari berada di sana, Damia dan Darwisya boleh diharap membantu membuat pesanan makanan, membeli-belah, menterjemah tulisan di papan tanda. Kami juga pergi dengan seorang rakan yang mempunyai anak berusia 16 tahun dan fasih berbahasa Mandarin.

“Dari situ timbul motivasi dan kesedaran untuk belajar kerana kebanyakan penduduk tempatan termasuk petugas kaunter jualan tiket tren di Guangzhou dan Shenzen langsung tidak menggunakan bahasa Inggeris seperti di Hong Kong,” ujarnya.

Justeru pada Januari lalu, ibu kepada tiga cahaya mata itu mendaftarkan diri ke kelas Fasih Mandarin yang menawarkan khidmat mengajar bahasa itu.

“Ia menuntut komitmen, bukan sahaja untuk hadir ke kelas, malah menyiapkan tugasan yang diberi di rumah. Namun, ia bukan suatu perkara yang mustahil untuk dilakukan. Dalam hal ini saya banyak merujuk masalah pelajaran dengan dua anak saya.

“Baru-baru ini selepas tamat kursus asas di Fasih Mandarin selama 60 jam, saya dan seorang rakan ke China untuk projek perniagaan borong kami. Alhamdulillah, saya boleh berurusan dengan pengusaha di sana tanpa menghadapi banyak masalah,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Pengasas Fasih Mandarin, Shah Farid Rashid berkata, Fasih Mandarin menawarkan khidmat pembelajaran bahasa Mandarin untuk semua peringkat umur. Ia terbahagi kepada kelas perseorangan dan berkumpulan.

Ilham

Shah Farid, 27, mendapat ilham memulakan kelas itu selepas operasi perniagaan penghantaran makanan online Food Valet yang baru beberapa bulan diusahakannya di Kuantan, Pahang berpindah ke lot premis baharu yang lebih selesa.

Bekas guru bahasa Mandarin di Kolej Profesional Mara itu teruja apabila mendapati terdapat sebuah bilik mesyuarat kosong yang boleh digunakan untuk melepaskan gian mengajar selepas terjun dalam bidang perniagaan.

“Ketika itu kami memulakan kelas dengan 18 pelajar dengan seorang tenaga pengajar sebelum bertambah kepada enam orang guru yang juga merupakan rakan saya ketika menuntut di Beijing Foreign Studies University dalam bidang Kesusasteraan Mandarin.

“Kini, kami mempunyai lima kelas dengan setiap satu daripadanya boleh menempatkan antara 13 ke 18 pelajar. Setakat ini kami telah menerima pelajar berusia semuda sembilan hingga 55 tahun,” jelasnya.

Selain mempunyai kelas induk di Jalan Beserah, Kuantan, Pahang, Fasih Mandarin turut mempunyai sebuah lagi cawangan di Bandar Baru Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kerja rumah

Kelas diadakan enam kali seminggu iaitu dari Isnin hingga Sabtu dengan modul serta silibus pembelajaran yang dirangka bersama rakan-rakannya. Ia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu kursus asas, pertengahan dan peringkat tinggi. Dalam hal ini, pelajar, diajar mengenal karakter tulisan Mandarin dan pin yin iaitu sistem perumian ejaan bunyi karakter bahasa Cina.

Pelbagai kaedah diguna pakai untuk meningkatkan kefahaman pelajar, antaranya mengadakan sesi lakonan dan khidmat bantuan percuma melalui kumpulan WhatsApp khas bagi menjawab sebarang pertanyaan daripada setiap pelajar yang berdaftar.

Di luar waktu kelas, tenaga pengajar mengambil inisiatif memberi kerja rumah berupa audio bagi slot sehari satu perkataan Mandarin. Pelajar diminta menghantar audio sebutan mereka untuk dinilai ketepatan perkataan yang diucapkan.

Katanya, setiap orang mempunyai pelbagai sebab untuk menguasai bahasa Mandarin. Antaranya situasi pekerjaan atau kerjaya di samping keinginan kuat untuk memajukan diri.

Dia pernah bertemu dengan seorang pelajarnya yang termenung di tepi jalan selepas kelas tamat. Setelah ditanya, pelajar itu menjawab dalam bahasa Mandarin yang lengkap dan menjelaskan, keretanya rosak serta dia sedang menunggu seseorang.

Katanya, pelajar tersebut merupakan kumpulan yang menggunakan modul percubaan sewaktu mula-mula Fasih Mandarin diperkenalkan. Perkara itu menjadi motivasi untuk Shah Farid untuk meneruskan perkhidmatan tersebut.

Katanya, Fasih Mandarin turut berperanan seperti kelas tuisyen dalam membantu mereka yang bersekolah di SJKC atau mengambil mata pelajaran Bahasa Cina untuk mengulang kaji pelajaran mengikut silibus yang telah disediakan oleh pihak sekolah atau institusi masing-masing.

Bagi seorang daripada tenaga pengajar Fasih Mandarin, Syazwan Syamin Abd. Rahman, 27, tiada istilah terlambat untuk seseorang mempelajari bahasa Mandarin biarpun mereka langsung tiada pengetahuan mengenainya.

Mengimbau kenangan lalu, Syazwan bercerita, dirinya sendiri bermula dengan kosong ketika ditawarkan mengikuti program penghantaran pelajar ke China untuk belajar bahasa Mandarin yang ditanggung sepenuhnya Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2009.

Ketika itu pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu telah belajar hampir satu semester dalam program asasi undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Seperti kebanyakan lepasan SPM lain, dia turut bersemangat mengisi pelbagai borang permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi seperti matrikulasi dan maktab perguruan.

Keperluan

Pada mulanya, beliau telah dipanggil temu duga untuk kemasukan maktab. Selepas seminggu hadir temu duga, pihak KPM telefon dan bertanya sama ada dia berminat untuk belajar bahasa Cina. Dia terus bersetuju kerana turut ditawarkan biasiswa.

“Saya akui sukar untuk meniru sebutan orang tempatan di China, terutamanya di bahagian nada. Kalau salah sebut maksud dan konteks perkataan boleh bertukar.

“Namun, disebabkan kami belajar dalam persekitaran penutur jati bahasa Mandarin menjadi keperluan untuk hidup di rantau orang dan ia membantu kami untuk faham perbualan asas dalam tempoh dua hingga tiga bulan sahaja,” ujarnya.

Sebagai individu yang pernah melalui jerih perih memahami bahasa Mandarin, dia dan rakan-rakan pengajar lain berhasrat ingin membantu pelajar, terutamanya masyarakat Melayu supaya tidak menjadi pekak atau bisu bila berdepan dengan penutur bahasa tersebut.

“Dalam erti kata lain, mereka boleh mempraktikkan apa yang dipelajari untuk kehidupan di luar kelas dan bukan untuk mendapat sijil atau lulus peperiksaan semata-mata,” ujar guru bahasa Mandarin di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur secara sepenuh masa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN