Lelaki cedera ditembak polis - Utusan Malaysia

Lelaki cedera ditembak polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL 26 Jun – Seorang lelaki cedera di bahagian belakang dan kepala selepas ditembak oleh polis dalam satu kejadian di Resindensi Villa Mutiara, Bandar Tasek Mutiara dekat Simpang Ampat di sini awal pagi ini.

Lelaki berusia 40 tahun itu bersama rakannya sebelum itu dikejar oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya kerana dipercayai terlibat dalam satu kes bunuh di Batu Maung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, suspek yang memandu sebuah kereta jenis Honda City sebelum itu cuba menghimpit kenderaan yang dinaiki anggota polis terbabit sebelum memasuki kawasan Masjid Kepala Gajah.

“Suspek kemudiannya cuba melanggar anggota polis sebelum memecut laju menyebabkan mereka terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara sebelum dua lagi tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta itu.

“Polis kemudiannya mengejar suspek sehingga ke kawasan villa terbabit dan melepaskan beberapa das lagi tembakan sebelum suspek berjaya ditahan dengan kesan cedera di belakang dan badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Polis turut menemukan sejumlah dadah dipercayai jenis syabu seberat 14.27 gram (g), satu paket ganja seberat 1.52 g, empat paket ketamin seberat 1.16 g, 19 biji pil disyaki eramin 5 serta tiga botol cecair berwarna coklat disyaki dadah di dalam kereta dinaiki suspek.

Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen Sek 39A(1) ,12(2) dan 6 Akta Dadah Berbahaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN