PUTRAJAYA 10 Jun – Kementerian Pendidikan akan membuat satu keputusan berhubung isu penyelewengan pemberian kontrak pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak esok.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu sejak minggu lalu dan pihak-pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan mengenainya.
“Satu keputusan tegas telah saya ambil pada hari Jumaat lalu, keputusan ini akan saya umumkan secara rasmi pada esok (Isnin, 11 Jun),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada baru-baru ini, satu portal melaporkan mengenai kemungkinan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak pembekalan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 363 sekolah pendalaman di Sarawak pada Januari lalu.
Laporan yang mengaitkan seorang bekas pemimpin utama negara itu mendakwa penganugerahan projek dibuat kepada syarikat sewa kereta di Bintulu dan didakwa melanggar prosedur biasa Kementerian Pendidikan. – UTUSAN ONLINE











