KUALA LUMPUR 25 Jun – Penduduk Taman Wahyu di sini menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju meneliti semula cadangan pembangunan bercampur di lot PT.26934, Jalan Kepong/Jalan Sibu yang didakwa akan menyebabkan kesesakan luar biasa di kawasan itu.
Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, pembangunan projek kediaman mewah yang turut melibatkan kerja-kerja penambakkan kolam tebatan banjir Taman Wahyu itu juga dikhuatiri akan mengakibatkan masalah banjir kilat.
Jelas beliau, pembangunan projek baharu itu sepatutnya dihentikan kerana kesesakan trafik di kawasan itu yang sudah kritikal pada masa ini.
“Gesaan ini adalah suara hati penduduk Taman Wahyu kerana jumlah penduduk sudah terlalu padat.
“Kami jangka kesesakan lalu lintas di sini akan jadi luar biasa jika projek kondominium yang menempatkan 1,000 unit kediaman itu diteruskan,’’ katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak cadangan pembangunan kondominium berkenaan hari ini. Poh Ping juga berkata, penduduk juga menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian bagi menilai impak alam sekitar sekiranya penambakkan kolam takungan banjir itu dijalankan.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. – UTUSAN ONLINE










