Komited laksana 10 manifesto - Utusan Malaysia

Komited laksana 10 manifesto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 24 Jun – Kerajaan negeri akan memberi komitmen yang tinggi untuk menunaikan kesemua 10 manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam tempoh 60 hari.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ber­kata, setakat ini pihaknya telah berjaya melak­sa­nakan enam daripada manifesto yang dijanjikan sebelum ini.

“Setakat ini, kerajaan nege­ri telah laksanakan enam janji dalam manifesto negeri, insya-Allah dalam tempoh dua bulan kita akan dapat laksanakan kesemua manifesto,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai di Tapak Bazar Ramadan Perling Mall, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Suhaizan Kayat.

Walau bagaimanapun, Osman tidak menyatakan enam manifesto yang telah berjaya ditunaikan pihaknya selepas lebih sebulan menerajui pentadbiran negeri ini selepas berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, keyakinan rakyat negeri ini terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan sema­kin positif.

“Rakyat hari ini dilihat beri keyakinan kepada PH untuk mentadbir kerajaan negeri, insya-Allah perkara ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas turut memberi bayangan bahawa Suhaizan bakal dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, pengumuman rasmi tentang perkara itu akan dibuat pada 28 Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN