Kisah ‘Raja Cahaya’ - Utusan Malaysia

Kisah ‘Raja Cahaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUSAT Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE) Setia adalah mercu tanda baharu di Pulau Pinang. Projek bernilai RM300 juta yang dibangunkan SP Setia Bhd. itu merupakan pusat konvesyen yang dijana oleh kuasa solar pertama seumpamanya di dunia. Ia mendapat gelaran sebagai ‘Mutiara Timur’.

RAM KUMAR, pengasas syarikat RP Design Illuminazione.
RAM KUMAR, pengasas syarikat RP Design Illuminazione.

Seni bina moden bangunan tersebut lebih terserlah dan dihargai apabila matahari terbenam. Lampu LED yang dipasang pada bumbung SPICE boleh bertukar warna dan corak seperti bergerak sehingga dikagumi ramai.

Malah, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri teruja sehingga berkongsi gambar SPICE pada waktu malam di laman Twitter beliau semasa masih menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pencahayaan amat penting dan memberikan faktor ‘wow’ kepada sesebuah seni bina dan ruang. Seorang arkitek terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Frank Lloyd Wright pernah mengatakan cahaya adalah pencetus keindahan pada sesebuah bangunan.

Tanpa pencahayaan yang betul dan baik, sesebuah bangunan dengan seni bina state of the art dan bernilai ratusan juta ringgit pun akan kelihatan seperti struktur murah. Tetapi dengan pencahayaan yang betul, bangunan murah boleh kelihatan gah seolah-olah bernilai tinggi.

Walaupun pencahayaan adalah aspek penting bagi mencantikkan sesebuah seni bina, orang di sebalik hasil kerja hebat itu tidak dikenali. Orang ramai lebih mengenali syarikat pemaju dan arkitek.

Ini kerana secara umum- nya, orang ramai beranggapan kerja pencahayaan itu dilakukan oleh pemasang lampu sahaja sedangkan ia sebenarnya memerlukan konsultan dari pakar pencahayaan.

Orang yang bertanggungjawab terhadap pencahayaan SPICE ialah Datuk Ram Kumar, 41, pengasas syarikat RP Design Illuminazione (M) Sdn. Bhd. (RP Design).

Nama syarikat tersebut, RP adalah gabungan huruf awal nama Ram dan isterinya, Datin Pusparani @ Jenny Ram yang merupakan tulang belakang syarikat dan Ram sendiri selama ini.

Ram bukanlah orang baharu dalam bidang tersebut. Anak jati Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu sudah terlibat dalam rekaan pencahayaan selama 22 tahun termasuk dalam mencerahkan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

“Saya berlatar belakang pendidikan kejuruteraan elektrik. Selepas tamat belajar, saya bekerja dengan sebuah syarikat konsultan pencahayaan yang terlibat dalam projek KLCC.

“Dari situ saya belajar tentang seni bina dan masa depan rekaan pencahayaan di Malaysia. Dalam tempoh tersebut, saya dan isteri membangunkan diri kami untuk pasaran khusus ini. Kami menghasilkan nilai kepada hartanah,” katanya.

Selepas memulakan perniagaan sendiri pada 2007, Ram tidak menoleh ke belakang lagi. Syarikat RP Design kini merupakan antara dua syarikat konsultan pencahayaan terbaik di Malaysia.

Selain SPICE, banyak lagi bangunan di Malaysia dan luar negara yang menerima sentuhan RP Design. Antaranya, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Hotel Impiana KLCC, Element Hotel, Ilham Tower di Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam (Selangor); Wisma Mustapha Kamal dan MKN Embassy Techzone di Cyberjaya; Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya serta Central Park Hotel di Bangalore (India).

Ram sendiri menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Beliau juga sering dijemput untuk menghadiri persidangan industri seni bina dan pencahayaan di dalam dan luar negara termasuk di Jerman, Itali dan Amerika Syarikat.

Menurut Ram, beliau amat mengagumi Perdana Menteri kerana Tun Dr. Mahathir mencetuskan perubahan reka bentuk bangunan di Malaysia dan memberikan inspirasi kepadanya untuk terlibat dalam bidang rekaan pencahayaan selepas pembinaan KLCC dan Putrajaya.

“Apabila Tun (Dr. Mahathir) memulakan pembinaan Putrajaya, beliau ada inspirasi. Kita dapat lihat falsafah seni bina dalam pembinaan Putrajaya. Semua bangunan dan jalan tersusun dan selari.

“Seni bina dan pencahayaan bangunan lain juga tidak boleh melebihi bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Sampai sekarang fasad dan konsep seni bina itu masih dikekalkan,”ujarnya.

Ram percaya rekaan pencahayaan mempunyai prospek perniagaan di Malaysia. Beliau kini sedang menurunkan segala pengetahuannya dan memberikan pendedahan kepada generasi baharu yang berminat dengan bidang tersebut.

Cuma, beliau sedikit terkilan kerana orang Malaysia masih skeptikal dengan kemampuan konsultan pencahayaan tempatan, walaupun mereka mempunyai kepakaran yang setanding dengan pakar pencahayaan asing termasuk menggunakan lampu yang mengikut piawaian antarabangsa dan teknologi terkini.

“Kita mesti percaya dengan kemampuan rakyat Malaysia. Orang Malaysia mampu menghasilkan rekaan pencahayaan yang lebih baik berbanding orang luar kerana kita memahami budaya tempatan.

“Harga yang ditawarkan oleh syarikat tempatan juga adalah jauh lebih murah berbanding syarikat asing walaupun menggunakan spesifikasi serupa,”katanya.

Menurut Ram, impiannya adalah untuk melihat syarikat-syarikat rekaan pencahayaan tempatan diberi peluang dalam pembangunan di negara ini.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dibuktikan lagi. Saya telah menghasilkan rekaan pencahayaan dan bangunan-bangunan yang menerima sentuhan saya boleh dilihat oleh semua. Saya telah menunjukkan keupayaan sebagai anak tempatan.

“Sekarang, saya mahu mendidik generasi baharu dalam bidang ini. Cuma saya bimbang mereka mungkin tidak akan berpeluang untuk berkembang sekiranya kita masih mempunyai mentaliti mengagungkan syarikat asing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN