Khairy lebih dinamik terajui FAM - Utusan Malaysia

Khairy lebih dinamik terajui FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Jun – Bukan Datuk Hamidin Mohd. Amin atau Tan Sri Annuar Musa yang layak memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Kongres Ke-54 pemilihan bagi baki penggal 2017-2021 pada 14 Julai ini.

KHAIRY JAMALUDDIN

Sebaliknya mata bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Dr. Peter Velappan terarah kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang dianggapnya calon dinamik untuk menerajui FAM.

Pengalaman sebagai Setiausaha Agung FAM sejak 2013 malah sebelum itu Naib Pre­siden juga kurang meyakinkannya untuk melihat Hamidin menjadi ‘Sepp Blatter Malaysia’, begitu juga Annuar yang pernah menyandang Timbalan Presiden persatuan itu.

Blatter ialah Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 1981 yang kemudian mendapat mandat Kongres Ke-51 badan induk dunia sebagai Presiden pada 1998 hingga 2015, menggantikan Joao Have­lange.

Mengenali Khairy secara dekat ketika Piala Dunia Bola Sepak Bersatu Sukan Olimpik Khas, empat tahun lalu, Velappan berkata: “Dia boleh jadi calon (Presiden FAM) yang baik. Sejujurnya kami pernah bekerjasama.

“(Namun) dia kena lepaskan hal-hal politik walaupun saya tahu dia bercita-cita lebih besar (dalam karier itu). Dia kena utamakan bola sepak dengan mengambil tanggungjawab itu (Presiden FAM)”.

Khairy juga dianggap antara pencetus Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2014 yang antara sasaran penting­nya ialah melahirkan skuad remaja negara layak ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 17 Tahun Dunia FIFA 2019.

Namun, nama bekas menteri kabinet itu tidak dicalonkan oleh mana-mana 20 ahli gabu­ngan FAM ketika pencalonan Pre­siden ditutup pada 11 Mei lalu, malah dia pernah menolaknya menjelang Kongres pemilihan tahun lalu yang dimenangi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN