RAWANG 12 Jun – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengagihkan sebanyak 100 buah kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp kepada pengguna jalan raya di tiga kawasan rehat dan rawat (R&R) sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tiga kawasan terbabit adalah di stesen minyak Petronas R&R Rawang (Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS), R&R Bentong (Lebuhraya Karak) dan R&R Seremban (Lebuhraya KL-Seremban).
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, kerusi itu diserahkan kepada pemandu Perodua yang bertuah yang membawa kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun.
Menurut beliau, inisiatif tersebut juga merupakan sebahagian daripada kempen keselamatan jalan raya Perodua selama lima tahun yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.
“Ini adalah kali pertama Perodua menganjurkan acara seumpama ini dengan kerjasama rakan niaga, Petronas serta panel insurans kami kerana prihatin terhadap keselamatan pelanggan dan keluarga mereka.
“Kami berharap rakyat Malaysia sedar tentang pentingnya kerusi keselamatan kanak-kanak dalam menjamin keselamatan anak-anak mereka ketika kenderaan bergerak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Diperkenalkan bersama dengan kempen keselamatan jalan raya pada Oktober tahun lalu, kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Perodua boleh didapati dalam dua model berbeza.











