Keperluan bina, naik taraf SJKT di kawasan bandar - Utusan Malaysia

Keperluan bina, naik taraf SJKT di kawasan bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Keperluan untuk membina dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan bandar amat penting bagi memenuhi permintaan masyarakat India yang ingin mendapatkan pendidikan di sekolah tersebut. 

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, pembinaan sekolah aliran itu juga seiring dengan penghijrahan masyarakat India yang ramai telah berpindah dari penempatan estet ke kawasan bandar.

“Dulu pembinaan sekolah Tamil di negara ini banyak di pinggir estet namun kini masyarakat India telah berhijrah maka keperluan untuk membina dan membesarkan Sekolah Tamil di kawasan pekan sangat mustahak,” katanya selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Kesusasteraan Tamil Kanak-kanak 2018 edisi pertama di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kula turut menyatakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan kaum India mendapat peluang pendidikan yang baik memandangkan 52 peratus kanak-kanak berketurunan India di negara ini mendapatkan pendidikan di sekolah aliran Tamil.

Katanya, kerajaan juga sedang berusaha menunaikan janji manifesto berkenaan semua SJKT akan  dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan infrastruktur di setiap SJKT akan dinaik taraf agar sama dengan kualiti di Sekolah Kebangsaan. 

Menyentuh mengenai Persidangan Antarabangsa Kesusasteraan Tamil Kanak-kanak yang julung-julung kali diadakan itu, Kula berkata, lapan negara termasuk India dan Singapura menyertai persidangan itu bagi mengukuhkan lagi peranan Bahasa Tamil dan memantapkan penggunaan sastera Tamil dalam kalangan murid di bawah usia 14 tahun.

Persidangan tiga hari bermula hari ini anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini