URUTAN merupakan aspek yang sangat penting dalam dunia sukan.
Ia boleh bertindak dalam membantu atlet mencapai prestasi optimum, memulihkan dan mencegah daripada berlaku kecederaan.
Ketua Terapi Team Sapura Cycling (TSC), Mohd. Azlan Othman berkata, teknik urutan dalam sukan juga dipercayai boleh mengurangkan kelesuan, keletihan serta melegakan tekanan pada otot.
Katanya, kaedah urutan dalam sukan amat berbeza daripada teknik urutan tradisional kerana ia lebih menekankan picitan dan urutan khas.
“Urutan dalam sukan amat penting. Boleh dikatakan setiap sukan memiliki pakar urut tersendiri yang akan menjalankan rutin urutan pada otot atlet sebelum dan selepas menjalani latihan.
“Melalui urutan, tekanan dan haba yang dikenakan melalui geseran semula jadi tapak tangan ke atas kulit boleh mengurangkan sakit pada otot dan tisu penghubung.
“Secara fisiologinya, terapi urutan juga boleh membantu membebaskan sesetengah bahan kimia dan boleh membuatkan pesakit lebih tenang, meningkatkan pergerakan pusingan darah serta merembeskan toksik yang terhasil daripada pergerakan anggota badan.
“Merehatkan diri dengan urutan dipercayai boleh memperbaiki sistem imunisasi, sendi, organ dalaman serta menggalakkan pemulihan dengan cepat selain turut mengurangkan kesakitan ringan serta merangsang kelenjar kulit supaya lebih sejuk,” katanya.
Mengulas lanjut, Azlan berkata, dalam setiap cabang sukan, tubuh badan seseorang atlet yang aktif memerlukan rehat yang banyak bagi membolehkan mereka cergas dengan pantas serta mengurangkan risiko kecederaan.
“Latihan berat yang berterusan tanpa pemulihan akan menyebabkan terjadinya sindrom lebih latihan (over training) yang mendedahkan mereka kepada kecederaan dan tekanan emosi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Azlan yang pernah bertugas sebagai pegawai terapi untuk skuad Terengganu Cycling Team (TSG) pada 2011 mendedahkan, teknik urutan berbeza juga perlu dilakukan mengikut keadaan cuaca di sesuatu tempat.
“Saya masih ingat ketika Tour of Hokkaido, Jepun 2011 sewaktu saya bertugas bersama TSG. Keadaan suhu yang sejuk boleh menyebabkan otot menjadi kejang sebelum perlumbaan bermula.
“Namun, dengan menggunakan teknik Pre Event Massage ia dapat memanaskan otot dan membantu pelumba menggelakkan diri daripada kekejangan sebelum perlumbaan.
“Saya turut menggunakan teknik ini bersama minyak panas yang mana ia memberi kesan yang sangat efektif. Mungkin ia juga menjadi salah satu medium yang membantu Muhammad Firdaus Zonis atau lebih dikenali sebagai Toy mencipta rekod baharu 1 Kilometer (km) individu pecut ketika ACC (Kejuaraan Berbasikal Asia) di Kazakhstan 2014 yang ketika itu saya bertugas sebagai juru urut bersama pasukan trek Malaysia,” ujarnya.











