KOTA BHARU 25 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju untuk menyalurkan bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengumuman itu adalah berdasarkan kepada kenyataan Dr. Mahathir dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada 7 Jun lalu.
Menurut beliau, persetujuan itu juga membuktikan kewujudan semangat federalisme di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Kunjungan ini adalah berasaskan hubungan rasmi antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan lagi semangat federalisme di negara yang kita cintai ini.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir atas pelantikan sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu diedarkan selepas Ahmad mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.
Berhubung pertemuan itu, Ahmad berharap agar projek-projek Persekutuan di negeri ini dapat diteruskan dengan jayanya.
“Kita juga berharap melalui kunjungan hormat ini kerjasama rasmi di antara barisan Exco kerajaan negeri dengan menteri Kabinet bertambah erat supaya dapat menatijahkan kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini,” jelasnya.











