Jong-un, Trump tiba di Singapura - Utusan Malaysia

Jong-un, Trump tiba di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA – Pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un tiba di Singapura semalam bagi menghadiri sidang kemuncak di luar jangkaan bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Jong-un tiba di Singapura dengan menaiki sebuah pesawat Boeing 747 milik penerbangan Air China, demikian menurut laman web pemerhati penerbangan, Flightradar24.

Pesawat itu dikatakan berlepas dari Pyongyang menuju ke Beijing, namun menukar nombor penerbangannya di udara sebelum menukar haluan ke selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan memuat naik gambar di laman Twitter menunjukkan beliau berjabat tangan dengan Jong-un di Lapangan Terbang Changi sebelum pemimpin Korea Utara itu menaiki sebuah limosin Mercedes-Benz dan diiringi konvoi lebih 20 kenderaan.

Jong-un kemudian menemui Presiden Singapura, Lee Hsien Loong untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menjadi tuan rumah pertemuan tersebut.

“Sekiranya sidang kemuncak ini berjaya. Usaha Singa­pura akan tercatat dalam lembaran sejarah,” kata Jong-un.

Trump pula mendarat pada waktu malam selepas penerbangan panjang dari Kanada. Pemimpin AS itu memberitahu pegawai-pegawai Singapura yang menyambut ketibaannya bahawa beliau berasa ‘amat baik’ mengenai sidang kemuncak tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa telah mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar lokasi pertemuan tersebut dan beberapa hotel mewah termasuk menempatkan pasu-pasu pokok tambahan di luar bilik penginapan Jong-un bagi menghalang pemandangan wartawan.

Sidang kemuncak di Singapura esok merupakan kemuncak diplomasi yang dicapai di Semenanjung Korea dan sekitarnya pada tahun ini tetapi pengkritik-pengkritik sangsi akan kejayaannya.

Washington menuntut Korea Utara melaksanakan perlucutan senjata nuklear secara sepenuhnya, disahkan dan tidak boleh ditarik balik, manakala Pyongyang hanya menjanjikan komitmen kepada perlucutan senjata nu­klear di Semenanjung Korea, terma tidak spesifik sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan oleh AS.

Bekas Timbalan Setia­usaha Negara AS, Richard Armitage menjangkakan rundingan mengenai isu utama perlucutan senjata nuklear tidak akan mencatat kejayaan besar.

“Kejayaan sidang ini adalah apabila mereka bergambar di depan lensa kamera. Mereka berdua akan dapat apa yang mereka mahukan,” katanya.

Trump sebaliknya menyifatkan sidang kemuncak itu bukan hanya sesi bergambar semata-mata tetapi dapat meningkatkan hubungan baik ke arah proses memeterai satu perjanjian utama. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini