KAZAN 20 Jun – Kapten Australia, Mile Jedinak menggesa rakan sepasukannya agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada Christian Eriksen dalam usaha mereka mencari tiga mata pertama apabila bertemu Denmark bagi aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia di Arena Samara, esok.
Kekalahan 2-1 kepada Perancis dalam aksi pertama menyebabkan skuad Socceroos terdesak untuk mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka untuk melepasi peringkat kumpulan.
Ayam tambatan Denmark, Eriksen meledak 11 gol untuk negaranya sepanjang aksi kelayakan menjadi pemain utama kepada skuad kendalian Age Hareide.
Bagaimanapun, Jedinak menyempurnakan penalti ketika bertemu Les Bleus berkata, mereka perlu memperbaiki disiplin persembahan apabila Perancis dihadiahkan penalti hasil bantuan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) selain jaringan sendiri Aziz Behich yang menjadi punca kekalahan Australia.
“Kami tahu dia (Eriksen) merupakan pemain yang berbakat dan jelas sekali dia memainkan peranan utama kepada Denmark.
“Namun, kami cuba untuk tidak terlalu fokus kepada perkara itu. Kami perlu memberi tumpuan kepada mereka secara kolektif. Kami perlu bimbang terhadap diri sendiri dan bagaimana kami mahu menterjemahkan corak permainan mengikut cara kami,” kata Jedinak.
Kekentalan di benteng pertahanan ketika menentang Perancis menyaksikan skuad kendalian Bert van Marwijk masih berpeluang untuk mara ke peringkat kalah mati.
Begitupun, berbekalkan kemenangan 1-0 menewaskan Peru membuatkan Denmark berada dalam keadaan baik secara psikologinya selain menyaksikan penjaga gol mereka, Kasper Schmeichel menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan.
Berbeza dengan Australia apabila dilihat jarang melakukan serangan sewaktu bertemu Perancis walaupun memiliki peluang terbaik. – AFP











