Jabatan Laut siasat kejadian feri terkandas di muara Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Jabatan Laut siasat kejadian feri terkandas di muara Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PERLIS – Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian sebuah feri penumpang milik syarikat Ferry Line Venture yang terkandas di beting pasir di muara Kuala Perlis di sini malam tadi.

Pengarah JLM Wilayah Utara,  Kapten Abdul Samad Shaik Osman berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci bagi memastikan punca sebenar kejadian termasuk mengambil kira kesalahan mungkin dilakukan nakhoda feri.

“Siasatan awal mendapati feri terbabit tidak mengikut laluan boya yang ditetapkan dan tersasar dari laluan asal, kita juga akan mengenal pasti kenapa dan mengapa nakhoda kapal itu bertindak demikian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ada boya (penanda arah di tengah laut) yang sepatutnya dilalui oleh feri-feri yang akan masuk ke terminal feri di sini.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, feri bersama 432 penumpang dan 12 kru terkandas lebih enam jam ekoran feri dinaiki tidak dapat meneruskan perjalanan.

Turut hadir meninjau penumpang yang terkandas ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Sementara itu, Pengurus Operasi Ferry Line Venture, Baharin Baharom berkata, pihaknya telah menghubungi pasukan penyelamat selain memberikan makanan dan minuman kepada penumpang yang terlibat.

Pihaknya juga menyediakan hotel, pengangkutan bagi penumpang yang akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur termasuk memberi ganti rugi kepada mereka, kata Baharin.

Beliau berkata pihaknya turut memohon maaf kepada semua penumpang dan memberitahu kes seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini