Honda bantu Jepun curi mata penting - Utusan Malaysia

Honda bantu Jepun curi mata penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YEKATERINBURG 25 Jun – Telah lapan tahun berlalu sejak Keisuke Honda muncul sebagai ‘budak emas’ dalam bola sepak Jepun pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Namun, prestasinya pada ketika ini tidaklah begitu membanggakan, tetapi pada pusingan akhir di Rusia 2018, dua kali Honda dibawa masuk dari bangku simpanan pada ketika pasukannya memerlukan gol, dan dua kali juga bekas pemain AC Milan berusia 32 tahun itu mempamerkan prestasi baik yang diharapkan.

Honda yang menjadi perancang kepada jaringan Yuya Osako menerusi tandukan sewaktu mencipta kemenangan ke atas Colombia dalam aksi pembukaan, malah, pemain veteran itu juga menyumbat gol penyamaan pada lewat permainan di Yekaterinburg, semalam, bagi memastikan satu mata penting berjaya dikutip pada pertemuan menarik menentang Senegal.

Kedua-dua pasukan kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan H dengan empat mata. Kejayaan berbuat demikian, menyaksikan Honda muncul pemain Jepun pertama menjaringkan gol dalam tiga Piala Dunia, dan mencerahkan laluan buat negaranya ke peringkat 16 terbaik.

“Ini satu keputusan positif apabila kami berjaya menyamakan kedudukan sebanyak dua kali. Pemain gantian berjaya bermain dengan baik, dan saya fikir saya telah melaksanakan tugas dengan efisien apabila merancang waktu yang sesuai untuk penggantian pemain,” kata jurulatih Jepun, Akira Nishino.

Jepun berjaya mendapatkan formula terbaik bagi menyaingi kelebihan fizikal Senegal, tetapi kedua-dua pasukan turut mempamerkan kelemahan masing-masing, dengan Eiji Kawashima dan Khadim N’Diaye, mempamerkan aksi goyah di posisi penjaga gol.

Kawashima tidak bermain dengan baik sewaktu kemenangan ke atas Colombia dan dia sekali lagi mempamerkan persembahan serupa menentang Senegal yang menyaksikan pasukan Afrika itu mendahului seawal minit ke-11 menerusi penyerang Liverpool, Sadio Mane.

Mujurlah, Takashi Inui mempamerkan prestasi mengagumkan apabila dia meledakkan gol penyamaan sebelum rehat babak pertama selepas menerima bola daripada Yuto Nagatomo.

Permainan yang disambung semula pada separuh masa kedua, Jepun membuktikan mereka sebuah pasukan yang lebih baik dengan melancarkan serangan demi serangan, namun, sekali lagi pintu gol mereka dibolosi pada minit ke-71 menerusi jaringan Moussa Wague, 19, yang menjadi pemain Afrika termuda menjaringkan gol pada Piala Dunia.

Namun, Jepun sememangnya berhak mencuri satu mata, apabila Honda menyumbat gol penyamaan hanya enam minit selepas di bawa masuk bagi menggantikan Shinji Kagawa. Kali ini, giliran N’Diaye pula membuat pasukannya kecewa apabila gagal mengawal kemas pintu gol Senegal.

“Sudah tentu kami kesal. Kami tidak bermain dengan baik dan Jepun pula sebuah pasukan yang lebih bagus. Tetapi kami berjaya mendahului dua kali dan apa yang buat saya marah ialah dua gol yang kami lepaskan,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN