KUALA LUMPUR 25 Jun – Penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan sewajarnya dihentikan sebagai menghormati kehendak Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, edaran kenyataan dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan tidak wajar dilakukan kerana bahasa kebangsaan sudah mencukupi dan difahami semua pihak.
Malah, menurut Rais yang kini merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), amalan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin tidak pernah dilakukan sejak dirinya terlibat dalam mahu pun di luar kerajaan selama lebih 40 tahun.
“Saya fikir amalan tersebut tidak wajar dilakukan kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris yang dibenarkan di bawah prosedur Parlimen.
“Oleh itu, saya dengan rasa rendah hati memohon jika benar terdapat amalan sedemikian supaya tidak diteruskan dan kita menghormati kehendak Perlembagaan Persekutuan menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diundang sebagai ahli panel dalam Forum Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini hari ini.
Yang turut hadir sebagai ahli panel, Exco Pendidikan Pemuda PPBM, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Felo Utama Institut Kajian Etnik, UKM, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar selaku moderator. – UTUSAN ONLINE










