ATAS kertas menunjukkan pasukan Selangor sudah berada sebelah kaki untuk beraksi di pentas akhir selepas skuad Gergasi Merah itu berjaya menundukkan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 4-0 bagi aksi pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin.
Aksi import Gergasi Merah, Rufino Segovia yang pernah bermain untuk Atletico Madrid semakin memuncak apabila dia berjaya melakukan hatrik sebelum hantarannya pada minit ke-64 turut membantu kemenangan Selangor selepas bola tersebut terkena kaki pemain PKNS FC, Azmizi Azmi yang kemudiannya masuk ke gawang sendiri.
Jurulatihnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir merasakan pasukannya berhak memperoleh kemenangan tersebut berdasarkan kesungguhan yang telah ditunjukkan semua pemain sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung di Cheras.
“Kita tahu PKNS FC merupakan sebuah pasukan yang baik kerana dibarisi beberapa pemain kebangsaan dan import yang setanding dengan pasukan-pasukan Liga Super lain.
“Bagaimanapun, persembahan pemain Selangor yang dipamerkan malam ini menjadikan kami sememangnya berhak untuk mendapatkan kemenangan dan jaringan sebanyak ini.
“Sebelum perlawanan, saya telah ingatkan para pemain bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dan mereka perlu fokus sehingga ke wisel penamat.
“Pada masa sama, taktikal yang kita gunakan juga sangat membantu dan kejayaan ini merupakan ganjaran terbaik kepada semua pemain yang benar-benar mahukan bekalan selesa untuk aksi kedua nanti,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Sementara itu, Nazliazmi merasakan pertemuan mereka sebelum ini pada saingan liga bukan pengukur sebenar kerana aksi tersebut jauh berbeza dengan persediaan menghadapi Piala FA.
“Kami hanya menang tipis dan seri pada aksi sebelum ini tetapi ia bukan pengukur sebenar kerana itu perlawanan liga. Jadi, saya jangka satu pendekatan dan barisan berbeza bakal digunakan jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal malam ini (malam kelmarin).
“Saya sentiasa mengingatkan pemain supaya beri bukan sahaja 100 peratus tetapi 150 peratus kerana ini peluang dan masa terbaik untuk kami layak ke final dan mencipta sejarah selepas kali terakhir Selangor ke final Piala FA pada tahun 2009,” ujarnya.










