TOKYO – Gempa bumi kuat menggegarkan bandar kedua terbesar di Jepun, Osaka semalam, menyebabkan tiga orang terbunuh termasuk seorang budak perempuan berumur sembilan tahun, manakala beratus-ratus mangsa cedera.
Imej televisyen memaparkan bangunan-bangunan bergoyang dan paip pecah selepas gempa itu melanda bandar Osaka yang didiami kira-kira dua juta penduduk semasa waktu puncak sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan).
Tiada kemusnahan berskala besar dan tiada amaran tsunami dilaporkan selepas gegaran berlaku, namun ramai pengguna tren terkandas dan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.
Antara korban gempa bermagnitud 5.3 tersebut termasuk seorang budak perempuan yang maut di bandar Takatsuki, utara Osaka. Mangsa dilaporkan terperangkap di bawah sebuah dinding yang runtuh.
Badan penyiaran awam NHK melaporkan, seorang lelaki berumur 80 tahun turut terkorban akibat dihempap dinding runtuh, manakala seorang lagi terperangkap di bawah rak buku di kediamannya.
Selain kematian tersebut, Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana menyatakan, lebih 300 orang cedera dalam bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Shinzo Abe memberitahu pemberita bahawa kerajaan sedang menggembleng usaha dengan keutamaan untuk menyelamatkan nyawa orang ramai.
Terdahulu, jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya gempa susulan yang kuat.
“Gempa berskala besar dijangka berlaku dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang,” katanya kepada pemberita.
Jepun terletak dalam zon ‘Lingkaran Api Pasifik’ yang merekodkan banyak kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi. – AFP










