Gadis tunggu panggilan 
ke UiTM maut kemalangan - Utusan Malaysia

Gadis tunggu panggilan 
ke UiTM maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 20 Jun – Hasrat seorang gadis untuk meneruskan impiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak kesampaian akibat maut dalam satu kemalangan di Jalan Batu Berendam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Faten Nursyuhadah Rahman, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Bagaimanapun, kakaknya yang menaiki motosikal sama cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Pe­nguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Sham Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa yang membawa motosikal jenis Honda Wave 110XS dalam perjalanan dari Melaka Baru pulang ke rumah di Durian Tunggal.

“Setiba di lokasi, motosikal ditunggangi dua beradik itu terbabas sendiri dan menyebabkan tiga kereta serta sebuah motosikal lain turut berlanggar gara-gara ingin mengelak mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang menunggang maut di tempat kejadian manakala kakaknya yang membonceng cedera ringan,” katanya di sini.

Mohd. Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Rahman Abdul Rasip, 53, berkata, Faten Nursyuhadah yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu sedang menunggu panggilan daftar masuk UiTM Shah Alam pada September depan.

“Dia (Faten Nursyuhadah) be­kerja sementara di sebuah kilang dekat Batu Berendam bersama kakaknya bagi mencari duit belanja serta persiapan masuk ke universiti.

“Saya tidak sangka hasratnya untuk menyambung pengajian tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia hari ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN