ISTANBUL – Reccep Tayyip Erdogan meraih kemenangan pada pilihan raya kelmarin sekali gus membolehkan beliau menyambung kuasa eksekutif di negara 81 juta penduduk itu sehingga tahun 2023.
Erdogan, pemimpin paling popular dalam sejarah Turki moden berikrar, tidak akan sesekali berundur dalam melaksanakan dasar untuk melakukan perubahan kepada Turki, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan calon untuk menyertai Kesatuan Eropah.
Erdogan, 64, daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) kelmarin meraih kejayaan dalam pilihan raya Presiden dan Parlimen, mengatasi pembangkang yang kebelakangan ini mendapat momentum besar dan kelihatan mampu menewaskannya.
Beliau memperoleh 52.5 peratus undi dalam saingan kerusi Presiden selepas lebih 99 peratus undian dikira. Parti AK yang dipimpinnya mendapat 42.5 peratus dalam pilihan raya Parlimen dan dibantu oleh parti sekutu yang meraih 11.1 peratus.
“Adalah tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa kami kembali untuk terus memajukan aspek demokrasi dan ekonomi negara,” kata Erdogan dalam ucapannya kelmarin.
Peratusan rakyat yang keluar mengundi turut meningkat dengan hampir 87 peratus.
Mata wang lira, yang hilang 20 peratus nilainya tahun ini, meningkat kira-kira dua peratus dalam dagangan awal, manakala saham melonjak hampir empat peratus apabila para pelabur yakin keputusan pilihan raya itu akan membawa kepada kestabilan politik serta positif untuk pasaran kewangan.
Agensi berita negara, Anadolu berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi, Parti AK dan sekutunya, MHP akan memperoleh 343 daripada 600 kerusi Parlimen Turki, dengan 293 daripada Parti AK dan 50 (MHP).
Parti pembangkang utama mendapat 146 kerusi, pro-Kurdish HDP (67) dan Parti Ivy (44).
“Tidak ada yang boleh menghalang kami, sehingga kami berjaya membawa Turki selepas diselamatkan daripada dalang, musuh politik dan ekonomi, geng jalanan dan organisasi pengganas kepada 10 negara teratas di dunia,” kata Erdogan. – Reuters










