KUALA LUMPUR 12 Jun – Penurunan harga komponen kenderaan berikutan kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyaksikan orang ramai mengambil peluang menghantar kenderaan mereka untuk di-selenggara sebelum pulang ke kampung halaman.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa buah bengkel dan pusat servis kenderaan sekitar Jalan Klang Lama dan Kuchai Lama di sini mendapati mekanik tidak menang tangan melayan pe-langgan.
Salah seorang pemilik bengkel, Mohamad Zamri Mohd. Razali, 31, berkata, jumlah kenderaan yang dihantar sejak kadar sifar GST bermula 1 Jun lalu meningkat mendadak terutama bagi pemilik kenderaan jenis sedan dan jenis utiliti sukan (SUV).
Katanya, majoriti mereka memang menanti penurunan harga pada alat-alat gantian.
Ini kerana kosnya lebih rendah berbanding sebelum ini ekoran penurunan harga turut berlaku di pihak pembekal serta pengilang.
“Sebelum ini orang ramai agak ragu-ragu untuk menukar komponen yang rosak mahupun uzur selepas pemeriksaan kerana tidak sanggup berbelanja besar akibat beban kewangan .
“Bagaimana kesedaran menghantar kende-raan untuk diselenggara sebelum memulakan perjalanan yang jauh terutama pulang ke kampung semakin tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang pelanggan, Mohd. Sanusi Saleh, 46, berkata, sudah menjadi rutin bulanan baginya menghantar kenderaan pacuan empat roda miliknya untuk diselenggara.
Menurutnya, temu janjinya kali ini adalah khas sebagai persediaan awal sebelum pulang beraya di kampung.
“Meskipun banyak persiapan sempena Aidilfitri telah dibelanjakan namun penyelenggaraan kenderaan tetap menjadi keutamaan.
“Tahap keselamatan ken-deraan perlu diutamakan bagi mengelak sebarang insiden sepanjang memandu pulang ke Kluang, Johor awal pagi Jumaat ini” katanya.
Bagi penjawat awam, Omar Abdul Ghani, 58, berkata, bahang Syawal semakin dirasai dan penyelenggaran kenderaan perlu dilakukan sebelum memandu pulang ke Alor Gajah, Melaka untuk pulang beraya.
Menurutnya, berbanding sebelum ini ramai yang berfikir dua kali untuk menukar komponen seperti tayar, lampu kenderaan tetapi kini tidak lagi.
“Walaupun harga bahan api masih kekal tinggi ketika ini, ia tidak merencatkan persiapan warga kota menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.
“Lebih-lebih lagi pengumuman 50 peratus diskaun tol di le-buh raya selama tiga hari bermula Jumaat ini cukup melegakan,” katanya.











