KUALA LUMPUR 25 Jun – Malaysia mempunyai ruang dasar yang mencukupi untuk menangani ketidaktentuan, dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan teragak-agak untuk campur tangan bagi menyediakan sokongan ekonomi menerusi tindakan monetari.
Public Investment Bank Research (PIB Research) dalam nota kajiannya berkata, Malaysia sedang melalui tempoh peralihan yang pesat dan positif sejak penubuhan kerajaan Persekutuan yang baharu.
“Sebarang pelarasan dan pengimbangan semula mungkin memberi kesan ke atas sistem penyampaian kerajaan, yang berpotensi menjejaskan bahagian permintaan ke atas ekonomi seperti pelaburan swasta dan awam, terutama apabila kerajaan komited untuk mengurangkan pembaziran dan mengurangkan kos.
“Memandangkan projek-projek seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Mass Rapid Transit 3 (MRT3) dipertimbangkan untuk menyokong momentum pelaburan, keputusan untuk menghentikan atau menangguhkan projek mungkin memberi kesan terhadap prestasi sektor ini,” katanya.
Ia berkata, BNM juga tidak akan teragak-agak untuk campur tangan jika wujud tanda-tanda kelemahan ekonomi dan menambah momentum inflasi yang rendah pada 1.7 peratus pada 2018 tahun ke tahun, berikutan faktor kos global yang lemah yang memberi ruang kepada bank pusat untuk campur tangan dalam kadar dasar, kerana ia dapat mewujudkan kadar faedah efektif yang kompetitif.
“Sebarang campur tangan dalam kadar dasar melalui pemotongan, boleh memacu bukan sahaja ekonomi, malah selera pelaburan, yang merupakan strategi menang-menang untuk semua,” kata PIB Research hari ini.
Ia berkata, Malaysia dikenali atas tindakannya yang tidak teragak-agak selain mengambil tindakan awal seperti semasa krisis kredit global dan penarikan United Kingdom daripada Kesatuan Eropah (Brexit).
Dalam satu lagi nota, PIB Research berkata, antara tugasan Gabenor baharu BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos ialah menghadiri Mesyuarat Dasar Monetari Keempat pada 11 Julai yang akan dipantau dengan teliti memandangkan bank pusat dijangka menilai impak segera perang perdagangan Amerika Syarikat-China.
Firma penyelidikan itu berkata, ini boleh menjadi sumber risiko memandangkan Malaysia ialah rakan perdagangan kelapan terbesar AS. – BERNAMA










