KUALA LUMPUR – Cef selebriti popular tanah air, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan meluahkan rasa sedih terhadap kematian Anthony Bourdain yang meninggal dunia pada 8 Jun lalu.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, Cef Wan, 60, turut berasa kesal dengan tindakan cef selebriti dan pengkritik makanan berkenaan yang bertindak membunuh diri.
Bourdain dilaporkan menamatkan riwayat hidupnya dengan menggantung diri di dalam sebuah bilik hotel di Perancis selepas didakwa mengalami kemurungan dan tekanan perasaan.
“Setiap daripada mereka mempunyai takdir hidup tersendiri termasuk kematian. Tidak kira sama ada individu itu kaya atau popular, bagaimanapun (hidup) mereka berakhir dengan bunuh diri.
“(Dalam hal ini), paling utama ialah kita (mesti) mengharungi kehidupan dengan rasa gembira. Bijak menyeimbangkan kualiti hidup terutama ketika berdepan ujian Tuhan,” tulisnya di Instagram.










