BALIK PULAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dirempuh sebuah lori ikan semasa melintas jalan di kawasan perumahan Taman Sahabat, Teluk Kumbar di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.
Mangsa, Muhammad Sabirin Khasim yang berketurunan Melayu dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau akibat kecederaan parah pada kepala dan kaki kiri.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kanak-kanak terbabit sedang melintas jalan dari sebelah kiri lalu telah dirempuh sebuah lori yang bergerak di laluan sama.
“Jalan di tempat kemalangan adalah laluan dua hala dan tiada tembok penghadang dan garisan melintas. Mangsa dipercayai melintas jalan seorang diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian berlaku mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










