KUALA LUMPUR 24 Jun – Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berjanji akan membuang ‘pakaian’ elit dan bangsawan yang selama ini sering dikaitkan dengan pergerakan tersebut.
Asyraf Wajdi berkata, perkara berkenaan perlu dilakukan dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan kembali Pemuda UMNO bagi menghadapi cabaran gelombang politik pada masa hadapan.
Katanya, aspek tersebut akan turut disusuli dengan agenda besar 5P iaitu pengkaderan, pentarbiyahan, pembudayaan ilmu, pemerkasaan rohani dan pemantapan jati diri seperti yang terkandung dalam manifestonya sebelum ini.
‘‘Selepas pembentukan Exco Pemuda selepas ini, kami akan mula menjelajah ke seluruh 191 bahagian untuk berjumpa dengan semua ahli Pemuda.
‘‘Kita tidak akan tidur di hotel lagi, (namun) tidur di rumah-rumah Ketua Bahagian Pemuda setiap bahagian bagi bersama-sama beriadah dengan pemuda seperti bermain bola sepak dan mengadakan halaqah ilmu bagi membuang ‘pakaian’ elit itu.
‘‘Kita mahu menjiwai dan cuba mendapatkan apa sahaja maklum balas kerana orang muda mahukan suara mereka sentiasa didengari,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena pengumuman keputusan pemilihan ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berjaya menewaskan lapan calon lain termasuk Khairul Azwan Harun, Mohd. Shahar Abdullah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan Wan Md. Hazlin Agyl Wan Hassan bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan sayap parti tersebut bagi penggal 2018-2021 yang diadakan semalam.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berhasrat membuka ruang kerjasama dengan calon-calon lain yang tewas dalam pemilihan bagi jawatan berkenaan.
Jelas beliau, perkara tersebut penting bagi merapatkan kembali saf dan Pemuda UMNO bergerak dalam satu hala tuju yang sama tanpa ada perpecahan serta berpuak-puak.
‘‘Insya-Allah calon-calon yang kalah akan diberi tempat sewajarnya, (lagi pun) saya telah mengadakan perbincangan dengan Khairul Azwan, Mohd. Shahar dan Wan Md. Hazlin Agyl yang mana mereka telah memberi jaminan untuk membantu.
‘‘Saya juga akan mengambil kira manifesto rakan-rakan lain yang banyak memberi manfaat bagi memperkukuhkan Pemuda UMNO dan menghadapi pilihan raya akan datang,’’ ujarnya











