KLANG – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan antara peniaga dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang tular di laman sosial sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, lelaki berusia 41 tahun bersama anaknya yang berumur 18 tahun itu ditahan di sekitar pekarangan Balai Polis Sungai Kapar Indah kira-kira pukul 5 pagi semalam.
Katanya, berdasarkan laporan pengadu yang juga seorang pegawai penguat kuasa MPK, kejadian pergaduhan itu berlaku ketika dia bersama pasukannya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bazar tersebut.
“Ketika pengadu memintanya menunjukkan lesen perniagaan, suspek gagal mengemukakan lesen seperti yang diminta.
“Semasa pengadu bersama pasukannya ingin menyita balang minuman, suspek cuba menghalang sehingga mengakibatkan pertengkaran mulut terjadi antara kedua-dua pihak sebelum berlaku pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.











