Austria tutup masjid - Utusan Malaysia

Austria tutup masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA 8 Jun – Kerajaan berhaluan kanan Austria bercadang untuk menutup tujuh buah masjid selain mengusir keluar 60 imam serta ahli keluarga mereka dalam apa yang disifatkan sebagai ‘langkah permulaan’ terhadap ideologi Islam dan pembiayaan asing kumpulan agama.

Kerajaan campuran tersebut iaitu gabungan parti konservatif dan haluan kanan memperoleh kuasa dalam satu pilihan raya sejurus selepas krisis migrasi ke Eropah dengan janji untuk mencegah kemasukan lain serta menghentikan faedah yang diberi kepada pendatang dan pela­rian.

Dalam jawatan sebelum ini sebagai menteri yang bertanggungjawab menguruskan integrasi, Canselor Sebastian Kurz menyelia kelulusan satu undang-undang Islam pada 2015, yang mengharamkan pem­biayaan asing untuk kumpulan agama dan mewujudkan duti untuk masyarakat Islam supaya mempunyai pandangan fundamental positif terhadap Austria dan masyarakatnya.

“Mereka yang selari dengan politik Islam dan radikal tidak boleh ber­ada di negara ini,” tegas Kurz yang menggariskan keputusan kerajaan berdasarkan undang-undang tersebut.

Austria mempunyai penduduk seramai 8.8 juta orang dengan 600,000 daripada mereka beragama Islam.

Menurut kerajaan, sebuah masjid yang didakwa dipe­ngaruhi oleh ‘Grey Wolves’ iaitu kumpulan belia nasionalis Turki akan ditutup kerana beroperasi secara haram.

Sebuah kumpulan Arab Muslim yang mengendalikan sekurang-kurangnya enam buah masjid turut berdepan tindakan sama. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN