ARAU 20 Jun -Syed Atif Syed Abu Bakar menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau selepas pencabarnya, Ameer Shafiq Shahidan tidak layak bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu, kali ini.
![]() |
|
SYED ATIF SYED ABU BAKAR
|
Ameer Syafiq yang juga anak kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim difahamkan tidak layak bertanding selepas keahliannya di dalam parti tidak melebihi tempoh tiga tahun sekali gus gagal memenuhi antara syarat pertandingan.
Sebelum ini, pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau hanya menyaksikan pertandingan dua penjuru membabitkan Syed Atif dan Ammer Syafiq yang membuat penampilan pertama di dalam pemilihan kali ini.
Untuk rekod, Syed Atif yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau tersebut sejak tahun 2013.
Dalam pada itu, bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau menyaksikan pertandingan dua penjuru membabitkan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian, Maszelan Othaman dan Penolong Setiausaha Pemuda Bahagian, Abdul Azim Abdullah.
Manakala bagi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian menyaksikan seramai 21 calon menawarkan diri bagi mengisi jawatan tersebut.
Sementara itu, penyandang Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datin Shamsiah Yasin iaitu isteri kepada Shahidan mengekalkan jawatan berkenaan selepas tidak ada calon lain menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.
Begitu juga bagi jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian yang menyaksikan Nordiana Haszila Halim menang tanpa bertanding. – UTUSAN ONLINE











