Altantuya: Tubuh jawatankuasa pantau siasatan - Utusan Malaysia

Altantuya: Tubuh jawatankuasa pantau siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jun – Polis tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau siasatan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, jawatankuasa itu akan membantu pasukan penyiasat sekiranya terdapat elemen-elemen baharu dalam siasatan.

Menurut beliau, pada masa sama, saksi-saksi yang pernah terbabit dalam siasatan sebelum ini turut akan dipanggil semula sekiranya ada keperluan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tengok dulu arah tuju kes ini sebab sudah dirujuk ke mahkamah sebelum ini dan kita perlu mengambil kertas siasatan terdahulu bagi mengkaji bukti baharu bagi menjalankan siasatan.

“Seterusnya, kita akan membuat keputusan berdasarkan bukti baharu dan perbincangan perlu dilakukan bersama pihak Peguam Negara sama ada siasatan tersebut akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Kali Ke-40 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim yang merasmikan mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lokasi semasa Deputi Superintenden Musa Safri yang juga saksi kes berkenaan Noor Rashid berkata, beliau difahamkan Musa masih berada di dalam negara.

“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memang­gil Musa bagi disoal siasat sekiranya ada keperluan.

“Sudah tentu kita perlu berbincang dengan Peguam Negara sebelum sebarang tindakan dibuat,” jelasnya.

Pada 20 Jun lalu, bapa model Mongolia itu, Dr. Setev Shaariibuu membuat laporan polis bagi membolehkan kes pembunuhan anaknya dibuka semula.

Peguam Dr. Setev, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya berharap laporan itu akan membuka kembali kes berkenaan untuk disiasat secara menyeluruh, termasuk mendakwa individu bertanggungjawab atas pembunuhan mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini