KEMERIAHAN sambutan perayaan Aidilfitri lebih sinonim dengan kehadiran sanak saudara yang pastinya meledak suasana raya dengan gelak ketawa, apatah lagi setelah sekian lama tidak bersua muka.
Saling meluangkan waktu bertukar cerita, raya dirasakan bagai tidak berseri sekiranya tiada hidangan istimewa seperti lemang, rendang, ketupat, kuah kacang serta nasi impit sebagai pelengkap.
Bukan sekadar hidangan, penyediaan pakaian baharu terutama pada Syawal pertama merupakan perkara utama yang sentiasa diberi keutamaan.
Pastinya menjadi adat resam Melayu menggayakan pakaian tradisional pada sambutan Hari Raya Aidilfitri. Baju Melayu, baju kurung atau jubah sentiasa menjadi pilihan tidak mengira sama ada potongan moden atau klasik.
Amalan sama turut dijadikan tradisi pelakon, penyanyi dan pengacara, Alif Satar yang hangatnya bagai pisang goreng panas, apatah lagi drama rantaian Klik! Pengantin Musim Salju yang baru selesai melabuhkan tirai pada 14 Jun lalu di saluran Astro.
Katanya, setiap tahun perkara utama yang sentiasa diambil kira adalah soal pemilihan warna pakaian sedondon. Bukan sahaja menyerikan suasana lebaran tetapi ia turut tampak menarik, apatah lagi tatkala bersama isteri, Shadila Halid dan dua puteri mereka, Alisha Anugerah, 3, serta Ariana Mecca, 1.
Namun berbeza pada tahun ini, Alif memberitahu, keluarganya memilih untuk melakukan kelainan dengan mengenakan baju batik. Penampilan berkenaan tidak hanya berbeza tetapi ia juga antara salah satu persediaan untuk bercuti bersama keluarga.
“Idea untuk mengenakan pakaian batik dicetuskan oleh ahli keluarga yang lain kerana ingin tampil berbeza daripada kebiasaan rutin sekeluarga.
“Selepas seminggu beraya di Kuala Lumpur, saya dengan beberapa ahli keluarga lain berangkat ke Pattaya, Thailand untuk bercuti bersama,” katanya dalam nada teruja saat bercerita tentang perancangan mereka sekeluarga.
Mengulas mengenai punca Alif sekeluarga memilih Pattaya sebagai lokasi percutian, pelantun lagu Sesungguhnya Aku itu mengukir senyuman sebelum melontarkan jawapan.
Dalam nada mesra, Alif memberitahu, segala keputusan dibuat berdasarkan kata muafakat dan dia hanya menurut. Tambahan, percutian tersebut merupakan ruang waktu untuk dia bersama keluarga setelah hampir lapan bulan memberi tumpuan kepada kerjaya.
“Lebaran kali ini sememangnya agak jauh berbeza berbanding kebiasaan yang kami sekeluarga raikan. Tidak hanya mengenakan pakaian batik pada hari pertama Aidilfitri tetapi bercuti ke luar negara bagi meneruskan sambutan hari raya.
“Kesibukan jadual kerja menyebabkan masa untuk menyiapkan keperluan terhad. Disebabkan itu, saya menyerahkan tugas untuk melakukan segala persiapan raya terutama kelengkapan anak-anak dilakukan oleh isteri,” ujarnya tersenyum.
Rumah terbuka Nana
Bagi gandingan Alif menerusi naskhah Klik! Pengantin Musim Salju, Siti Nordiana, wanita berusia 33 tahun itu turut mempunyai perancangan untuk bercuti ke luar negara saat warga kota lain sibuk beraya di desa.
Tidak lekang mengukir senyuman, pelakon dan penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana itu turut memberitahu tentang perancangannya untuk bercuti selepas meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
Melontarkan senyuman, Nana bagaimanapun tidak memperincikan perancangannya itu kerana beranggapan ia bersifat peribadi untuk dikongsikan kepada umum.
“Sebelum Ramadan, jadual kerja agak padat ditambah pula dengan penggambaran di Jepun bagi menjayakan drama rantaian Klik! Pengantin Musim Salju. Justeru, pada bulan Ramadan saya lebih senang untuk tidak terlalu sibuk.
“Berasa seperti ingin merehatkan diri selepas Aidilfitri nanti, perancangan untuk bercuti ke luar negara itu ada tetapi masih tidak mengetahui sama ada berjaya atau sebaliknya,” kata pelantun lagu Terus Mencintai berkenaan yang meraikan Aidilfitri di kampung halamannya, Felda Sendayan, Negeri Sembilan.
Berkongsi cerita lebaran, Nana masih tidak dapat melupakan sambutan Aidilfitri dua tahun lalu iaitu setelah setahun dia menyandang gelaran juara program Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.
Mengimbau kenangan Syawal pada 2016, Nana yang mengadakan sambutan rumah terbuka di sebuah dewan serbaguna di kampung halaman tidak menjangka ‘limpahan’ tetamu hadir ke acara tersebut.
Apatah lagi persiapan hanya dilakukan untuk meraikan sekitar kehadiran seramai 2,000 orang, namun hadirin yang datang bertandang jauh lebih ramai iaitu sekitar 5,000 tetamu.
“Saya dan keluarga tidak menjangka menerima kunjungan peminat sehingga seramai itu. Agak mencemaskan kerana bimbang hidangan tidak mencukupi. Namun alhamdulillah, segalanya berjalan lancar apabila saya mendapatkan juadah dari kedai makan terdekat,” jelas Nana.
Melanjutkan cerita, Nana bagaimanapun masih dalam perancangan sama ada untuk melakukan acara rumah terbuka atau tidak kali ini memandangkan jadual kerja yang agak padat termasuk sesi latihan konsert sulung bersama Alif, Just Us – Alif Satar & Siti Nordiana Live Concert In Singapore.
Keserasian ‘kisah cinta’ Nana dan Alif mula berputik sejak kedua-duanya bergandingan menerusi drama rantaian Dia Semanis Honey. Nyata pertaruhan sulung Nana menjayakan naskhah drama rantaian berjaya menambat hati penonton sehingga turut diterbitkan dalam bentuk telefilem Dia Semanis Honey Raya dan pementasan Dia Semanis Honey The Muzikal di Istana Budaya (2017).
“Secara peribadi saya sendiri berasa kekok untuk bergandingan dengan Alif kerana jarak usia kami agak jauh. Tambahan Alif juga merupakan seorang pelakon berbakat.
“Tetapi sejak mengenalinya dan saling bekerjasama, kami tidak mempunyai masalah untuk bertukar pendapat dan jujur dalam memberi teguran antara satu sama lain,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos depan di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura, selain penonton bakal menyaksikan gandingan mantap Nana dan Alif mendendangkan hampir 20 buah lagu hit termasuk single duet mereka, Sebenarnya.
Bukan sekadar tampak serasi di kaca televisyen, Alif dan Nana saling sama menyimpan hasrat untuk bercuti ke luar negara sejurus selepas seminggu meraikan Aidilfitri bersama keluarga.










